Yehezkiel 40:37-49 Alkitab Berita Baik (BM)

37. Ruangan depan di situ menghadap ke halaman luar, dan ukiran pokok palma terdapat pada tembok yang menghadap ke lorong. Lapan anak tangga menuju ke pintu gerbang itu.

38. Di halaman luar terdapat sebuah bilik tambahan di bahagian dalam pintu gerbang utara. Bilik tambahan itu ada sebuah pintu yang menuju ke ruangan depan yang menghadap halaman luar. Di situlah orang mencuci binatang yang telah disembelih sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.

39. Di ruangan depan itu ada empat buah meja, dua di sebelah kanan dan dua di sebelah kiri. Di atas meja-meja itu orang menyembelih binatang yang akan dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, atau korban untuk mengampunkan dosa, atau korban untuk membayar ganti rugi.

40. Di luar ruangan depan itu ada lagi empat buah meja yang sama, dua di sebelah kanan dan dua di sebelah kiri pintu gerbang utara.

41. Semuanya ada lapan buah meja yang digunakan untuk menyembelih binatang yang dipersembahkan sebagai korban: empat di dalam bilik dan empat lagi di halaman luar.

42. Empat buah meja di dalam bilik itu, yang digunakan bagi menyediakan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dibuat daripada batu yang dipahat. Tingginya 50 sentimeter, dan bahagian atasnya 75 sentimeter persegi. Semua alat yang digunakan untuk menyembelih korban diletakkan di atas meja-meja itu.

43. Tepi meja-meja itu mempunyai pinggiran selebar 75 milimeter. Semua daging yang akan dipersembahkan diletak di atas meja-meja itu.

44. Kemudian lelaki itu membawa aku ke halaman dalam. Di situ ada dua buah bilik, sebuah di sisi pintu gerbang utara dan menghadap ke selatan, dan sebuah lagi di sisi pintu gerbang selatan dan menghadap ke utara.

45. Dia memberitahu aku bahawa bilik yang menghadap ke selatan disediakan bagi para imam yang bertugas di Rumah TUHAN,

46. dan bilik yang menghadap ke utara disediakan bagi para imam yang bertugas di mazbah. Semua imam itu keturunan Zadok. Mereka daripada suku Lewi dan hanya mereka yang dibenarkan menghadap TUHAN untuk melayani Dia.

47. Lelaki itu mengukur halaman dalam dan ukurannya 50 meter persegi. Rumah TUHAN terletak di sebelah barat, dan di depannya ada sebuah mazbah.

48. Lalu dia membawa aku ke ruangan depan Rumah TUHAN. Dia mengukur pintu masuk; luasnya 2.5 meter dan lebarnya 7 meter. Tembok di kiri dan kanannya setebal 1.5 meter.

49. Ruangan depan itu panjangnya 10 meter dan lebarnya 6 meter. Orang dapat masuk ke situ dengan mendaki beberapa anak tangga. Di pintu masuk ada dua batang tiang, sebatang di sebelah kanan dan sebatang di sebelah kiri.

Yehezkiel 40