Yehezkiel 40:25-39 Alkitab Berita Baik (BM)

25. Bilik-bilik di situ mempunyai tingkap-tingkap yang sama dengan yang terdapat di pintu gerbang lain. Panjang lorong pintu gerbang itu 25 meter, dan lebarnya 12.5 meter.

26. Tujuh anak tangga menuju ke pintu gerbang selatan itu dan terdapat juga ruangan depan di hujungnya yang menghadap ke halaman luar Rumah TUHAN. Pada tembok di bahagian dalam yang menghadap lorong itu terdapat ukiran pokok palma.

27. Di situ juga terdapat sebuah pintu gerbang yang menuju ke halaman dalam. Lelaki itu mengukur jarak di antara dua buah pintu gerbang itu; jaraknya 50 meter.

28. Selepas itu, lelaki itu membawa aku masuk ke halaman dalam melalui pintu gerbang selatan. Dia mengukur pintu gerbang itu, dan ukurannya sama dengan ukuran pintu-pintu gerbang di sebelah luar.

29-30. Bilik-bilik pengawal, ruangan depan, dan tembok-tembok sebelah dalam, sama ukurannya dengan yang terdapat di pintu gerbang lain. Bilik-bilik di pintu gerbang ini juga mempunyai tingkap-tingkap. Panjang lorong pintu gerbang itu 25 meter, dan lebarnya 12.5 meter.

31. Ruangan depannya menghadap ke halaman luar, dan ukiran pokok palma terdapat pada tembok-tembok yang menghadap ke lorong. Lapan anak tangga menuju ke pintu gerbang itu.

32. Kemudian lelaki itu membawa aku masuk ke halaman dalam melalui pintu gerbang timur. Dia mengukur pintu gerbang itu, dan ukurannya sama dengan ukuran pintu-pintu gerbang lain.

33. Bilik-bilik pengawal, ruangan depan dan tembok-tembok dalam, sama ukurannya dengan yang ada di pintu gerbang lain. Di bilik-bilik pengawal dan ruangan depan itu terdapat tingkap-tingkap. Panjangnya lorong pintu gerbang itu 25 meter, dan lebarnya 12.5 meter.

34. Ruangan depannya menghadap ke halaman luar. Ukiran pokok palma terdapat pada tembok yang menghadap ke lorong. Lapan anak tangga menuju ke pintu gerbang itu.

35. Akhirnya lelaki itu membawa aku ke pintu gerbang utara. Dia mengukur pintu gerbang itu dan ukurannya sama dengan pintu-pintu gerbang lain.

36. Seperti yang lain-lain, pintu gerbang ini juga mempunyai bilik-bilik pengawal, tembok-tembok sebelah dalam, ruangan depan, dan tingkap-tingkap. Panjang lorong pintu gerbang itu 25 meter, dan lebarnya 12.5 meter.

37. Ruangan depan di situ menghadap ke halaman luar, dan ukiran pokok palma terdapat pada tembok yang menghadap ke lorong. Lapan anak tangga menuju ke pintu gerbang itu.

38. Di halaman luar terdapat sebuah bilik tambahan di bahagian dalam pintu gerbang utara. Bilik tambahan itu ada sebuah pintu yang menuju ke ruangan depan yang menghadap halaman luar. Di situlah orang mencuci binatang yang telah disembelih sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.

39. Di ruangan depan itu ada empat buah meja, dua di sebelah kanan dan dua di sebelah kiri. Di atas meja-meja itu orang menyembelih binatang yang akan dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, atau korban untuk mengampunkan dosa, atau korban untuk membayar ganti rugi.

Yehezkiel 40