Yehezkiel 40:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Pada hari kesepuluh, bulan pertama dalam tahun kedua puluh lima masa kami dalam buangan, dan tahun keempat belas selepas Yerusalem ditakluki, aku merasakan kuasa TUHAN, lalu Dia membawa aku pergi.

2. Dalam satu penglihatan, Allah membawa aku ke negeri Israel dan menempatkan aku di atas sebuah gunung yang tinggi. Di hadapanku, kelihatan bangunan-bangunan yang menyerupai sebuah kota.

3. Dia membawa aku ke situ lalu aku nampak seorang lelaki yang bersinar seperti gangsa, berdiri di pintu gerbang. Orang itu sedang memegang tali pengukur daripada linen dan juga sebatang kayu pengukur.

4. Lelaki itu berkata kepadaku, “Hai manusia fana, dengarlah baik-baik dan perhatikanlah segala sesuatu yang aku tunjukkan kepadamu, kerana untuk maksud itulah engkau telah dibawa ke sini. Hendaklah engkau memberitahu umat Israel segala yang engkau lihat.”

5. Aku nampak Rumah TUHAN yang dikelilingi tembok. Lelaki itu menggunakan kayu pengukur yang panjangnya 3 meter, lalu mengukur tembok itu. Tinggi tembok itu 3 meter, dan tebalnya pun 3 meter.

6. Selepas itu dia pergi ke pintu gerbang yang menghadap ke timur. Dia menaiki tangga pintu gerbang, dan di atas tangga itu dia mengukur ambang pintu; lebarnya 3 meter.

7. Di belakang pintu gerbang itu ada sebuah lorong dan tiga buah bilik pengawal pada tiap-tiap sisinya. Tiap-tiap bilik berbentuk empat persegi, setiap sisi berukuran 3 meter, dan tembok pemisah bilik setebal 2.5 meter. Selepas bilik-bilik pengawal itu, lorong memanjang 3 meter lagi dan menuju ke ruangan depan yang menghadap Rumah TUHAN.

10. Ukuran bilik-bilik pengawal di sisi lorong itu semuanya sama, dan tebal tembok bilik pun sama.

11. Kemudian lelaki itu mengukur lorong di pintu gerbang. Lebar lorong itu 6.5 meter, dan lebar pintu gerbang itu 5 meter.

12. Di hadapan tiap-tiap bilik pengawal itu ada tembok yang rendah; tingginya 0.5 meter, dan tebalnya 0.5 meter juga. Semua bilik itu 3 meter persegi.

13. Lalu lelaki itu mengukur jarak dari tembok belakang sebuah bilik sampai ke tembok belakang bilik yang di seberangnya; jaraknya 12.5 meter.

14. Ruangan depan di hujung sekali menghadap ke halaman luar Rumah TUHAN. Dia mengukur ruangan depan itu; lebarnya 10 meter.

15. Jarak dari tembok pintu gerbang di sebelah luar sampai ke tembok ruangan depan di bahagian yang menghadap ke Rumah TUHAN ialah 25 meter.

Yehezkiel 40