Yehezkiel 39:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

1. TUHAN Raja berfirman, “Hai manusia fana, kecamlah Gog, penguasa utama negeri-negeri Mesekh dan Tubal, dan beritahulah dia bahawa Aku musuhnya.

2. Aku akan memusingkan dia, dan membawa dia keluar dari tempat jauh di utara sehingga dia sampai ke pergunungan Israel.

3. Kemudian Aku akan memukul busurnya sehingga terlepas dari tangan kirinya, dan menjatuhkan anak panah dari tangan kanannya.

4. Gog dan tenteranya, serta tentera sekutunya akan gugur di pergunungan Israel. Aku akan membiarkan mayat mereka dimakan burung dan binatang liar.

5. Mereka akan jatuh dan mati di padang. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.

6. Aku akan menyalakan api di negeri Magog, dan di sepanjang pantai tempat orang hidup dengan aman. Lalu semua orang akan tahu bahawa Akulah TUHAN.

7. Aku akan memastikan Israel, umat-Ku, kenal akan nama-Ku yang suci, dan Aku tidak akan membiarkan nama-Ku dicemarkan lagi. Barulah bangsa-bangsa tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah Israel, Allah yang suci.”

8. TUHAN Raja berfirman, “Hari yang Aku sebut itu pasti akan tiba.

9. Penduduk kota-kota di Israel akan keluar dan mengumpulkan senjata yang telah ditinggalkan, iaitu perisai, busur, anak panah, tombak, dan belantan. Mereka akan menggunakan semua itu sebagai bahan api, dan semuanya cukup untuk tujuh tahun.

10. Oleh itu mereka tidak usah mengumpulkan kayu api di ladang ataupun menebang pokok di hutan, kerana mereka mempunyai cukup bahan api daripada senjata yang ditinggalkan itu. Mereka akan menjarah dan merampas harta orang yang dahulu menjarah serta merampas harta mereka.” TUHAN Raja telah berfirman.

11. TUHAN berfirman, “Apabila segala perkara itu berlaku kelak, Aku akan memberi Gog satu tempat di Israel bagi penguburannya, iaitu di Lembah Penyeberangan di sebelah timur Laut Mati. Gog dan semua tenteranya akan dikuburkan di sana, dan lembah itu akan disebut ‘Lembah Tentera Gog.’

Yehezkiel 39