9. Aku memihak kamu. Aku akan memastikan supaya tanah kamu dibajak dan ditanami benih semula.
10. Aku akan menambah bilangan kamu. Kamu akan tinggal di kota-kota dan membina semula segala yang telah runtuh.
11. Aku akan menambah bilangan penduduk dan ternak kamu. Bilangan kamu akan menjadi lebih besar daripada dahulu. Kamu akan beroleh banyak anak. Aku akan membenarkan kamu tinggal di sana seperti dahulu, dan Aku akan membuat kamu lebih makmur seperti yang belum pernah kamu alami. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.
12. Aku akan membawa kamu, Israel, umat-Ku pulang supaya kamu dapat tinggal di negeri itu lagi. Negeri itu akan menjadi milik kamu, dan akan selalu memberikan hasilnya supaya anak-anak kamu tidak mati kelaparan.
13. Aku, TUHAN Raja berfirman: Memang benar orang mengatakan negeri ini pemakan orang, dan negeri ini menjadikan bangsanya kehilangan anak-anak.
14. Tetapi mulai sekarang negeri ini tidak akan memakan orang ataupun menjadikan bangsanya kehilangan anak-anak lagi. Aku, TUHAN Raja telah berfirman.
15. Negeri ini tidak akan dihina ataupun diejek lagi oleh bangsa-bangsa. Negeri ini tidak akan menghapuskan penduduknya lagi. Aku, TUHAN Raja telah berfirman.”
16. TUHAN berfirman kepadaku,
17. “Hai manusia fana, ketika umat Israel tinggal di negeri mereka, mereka menajiskan negeri itu dengan cara hidup dan kelakuan mereka. Aku menganggap kelakuan mereka itu najis seperti wanita yang sedang haid.
18. Aku membiarkan mereka merasakan segala kemurkaan-Ku kerana mereka telah melakukan banyak pembunuhan di negeri itu, dan mencemarkannya dengan berhala-berhala mereka.
19. Aku menghukum mereka setimpal dengan cara hidup dan kelakuan mereka, lalu Aku mencerai-beraikan mereka ke negeri-negeri asing.
20. Ke mana sahaja mereka pergi, mereka mencemarkan nama-Ku yang suci kerana orang berkata, ‘Lihatlah, mereka umat TUHAN, tetapi mereka terpaksa meninggalkan negeri yang diberikan-Nya kepada mereka.’