11. TUHAN Raja berfirman, “Aku sendiri akan mencari umat Israel, domba-domba-Ku, dan memelihara mereka,
12. seperti seorang gembala mencari dan mengumpulkan domba-dombanya yang tercerai-cerai. Aku akan mengumpulkan mereka dari tempat mereka tercerai-cerai pada malam yang gelap dan nahas itu.
13. Aku akan mengeluarkan mereka dari negeri-negeri asing dan mengumpulkan mereka, lalu membawa mereka pulang ke tanah air mereka. Aku akan membawa mereka balik ke gunung-gunung dan lembah-lembah di Israel. Aku akan memberi mereka makan di padang-padang rumput yang subur.
14. Aku akan membiarkan mereka merumput dengan tenteram di padang hijau. Aku akan membolehkan mereka makan di padang rumput di gunung, di lembah, dan di padang rumput yang hijau di Israel.
15. Aku sendiri akan menggembalakan domba-domba-Ku. Aku akan mencari tempat berehat bagi mereka. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
16. Aku akan mencari mereka yang hilang, membawa pulang mereka yang sesat, membalut mereka yang luka, dan mengubati mereka yang sakit; tetapi mereka yang gemuk dan kuat akan Kubinasakan, kerana Aku gembala yang melakukan apa yang adil.
17. Dengarlah, hai domba-domba-Ku. Aku, TUHAN Raja, memberitahu kamu bahawa Aku akan mengadili kamu masing-masing, dan memisahkan yang baik daripada yang jahat, domba daripada kambing.
18. Di kalangan kamu ada yang tidak puas hati hanya dengan memakan rumput yang terbaik, tetapi juga memijak-mijak rumput yang tidak dimakan mereka! Mereka minum air jernih, lalu mengeruhkan air yang tidak diminum mereka.
19. Domba-domba-Ku yang lain terpaksa makan rumput yang telah dipijak-pijak, dan minum air yang telah dikeruhkan.
20. Oleh itu Aku, TUHAN Raja, memberitahu kamu bahawa Aku akan menjadi hakim antara domba yang kuat dengan domba yang lemah.
21. Kamu menanduk dan menolak domba yang sakit sehingga mereka terhalau daripada kawanan domba.
22. Tetapi Aku akan menyelamatkan domba-domba-Ku dan tidak akan membiarkan mereka diperlakukan dengan kejam lagi. Aku akan menghakimi setiap domba-Ku dan memisahkan yang baik daripada yang jahat.
23. Aku akan melantik seorang raja seperti Daud, hamba-Ku, untuk menjadi satu-satunya gembala mereka, dan dia akan memelihara mereka.