1. TUHAN berfirman kepadaku,
2. “Hai manusia fana, kecamlah raja-raja Israel. Bernubuatlah dan sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka, ‘Alangkah malangnya kamu, hai gembala-gembala Israel. Kamu hanya menjaga kepentingan diri sendiri dan bukan kepentingan domba-domba.
3. Kamu minum susu domba, memakai pakaian daripada bulu domba, menyembelih dan makan domba yang terbaik, tetapi kamu tidak pernah menggembalakan domba-domba itu.
4. Kamu tidak merawat yang lemah, atau mengubati yang sakit, atau membalut yang luka, atau membawa pulang yang sesat atau mencari yang hilang. Sebaliknya kamu memperlakukan semua domba itu dengan kejam.
5. Kerana tidak mempunyai gembala, domba-domba itu tercerai-cerai dan menjadi mangsa binatang buas.
6. Maka domba-domba-Ku mengembara ke bukit dan gunung, tercerai-cerai di muka bumi. Tidak seorang pun mencari atau berusaha untuk mendapatkan domba-domba itu.
7. Hai gembala-gembala, dengarlah apa yang Aku, TUHAN firmankan.
8. Demi Aku, Allah yang hidup, dengarlah firman-Ku. Domba-domba-Ku telah diterkam dan dibunuh, serta dimakan binatang buas kerana tiada gembala yang menjaga domba-domba itu. Kamu, gembala-gembala-Ku tidak berusaha untuk mencari domba-domba itu. Kamu menjaga kepentingan diri sendiri, bukan kepentingan domba-domba-Ku.
9. Oleh itu dengarlah Aku, hai kamu para gembala.
10. Aku, TUHAN Raja, mengumumkan bahawa Aku musuh kamu. Aku akan mengambil domba-domba-Ku daripada kamu, dan tidak lagi mempercayakan domba-domba itu kepada kamu. Aku tidak lagi membenarkan kamu menjaga kepentingan diri kamu sahaja. Aku akan menyelamatkan domba-domba itu supaya tidak menjadi makanan kamu.’ ”
11. TUHAN Raja berfirman, “Aku sendiri akan mencari umat Israel, domba-domba-Ku, dan memelihara mereka,