13. Aku mungkin menjanjikan hidup kepada orang baik, tetapi jika mereka menyangka bahawa kebaikan mereka dahulu akan menyelamatkan mereka, lalu mereka mula berdosa, Aku tidak akan mengingat kebaikan mereka dahulu. Mereka akan mati kerana dosa mereka.
14. Aku mungkin memberikan amaran kepada orang jahat bahawa mereka akan mati. Tetapi jika mereka berhenti berdosa lalu melakukan apa yang baik dan benar -
15. umpamanya mereka memulangkan barang orang lain atau memulangkan barang yang telah dicuri mereka - jika mereka berhenti berdosa dan mentaati hukum yang memberikan hidup, mereka tidak akan mati tetapi akan hidup.
16. Aku akan mengampunkan dosa-dosa yang telah dilakukan mereka, dan mereka akan hidup kerana melakukan apa yang baik dan benar.
17. Namun bangsamu mengatakan bahawa perbuatan-Ku tidak adil! Perbuatan merekalah yang tidak adil!
18. Apabila orang baik mula berbuat jahat, mereka akan mati kerana perbuatan jahat itu.
19. Apabila orang jahat berhenti berdosa lalu melakukan apa yang baik dan benar, mereka akan hidup.
20. Meskipun begitu Israel masih mengatakan bahawa perbuatan-Ku tidak adil. Oleh itu Aku akan menghakimi mereka menurut perbuatan mereka.”
21. Pada hari kelima, bulan kesepuluh, tahun kedua belas masa kami dalam buangan, seorang yang melarikan diri dari Yerusalem datang memberitahu aku bahawa kota itu telah jatuh.
22. Pada malam sebelum kedatangannya, aku telah merasakan kuasa TUHAN. Ketika orang itu tiba esok paginya, TUHAN membolehkan aku bertutur semula.
23. TUHAN berfirman kepadaku,
24. “Hai manusia fana, orang yang tinggal di reruntuhan kota-kota Israel mengatakan, ‘Abraham hanya satu orang, namun dia mendapat seluruh tanah ini; tetapi kita ini banyak orang, dan tentunya tanah ini menjadi milik kita.’
25. Sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja, firmankan kepada mereka: Kamu makan daging yang masih berdarah. Kamu menyembah berhala dan melakukan pembunuhan. Mana boleh kamu berfikir tanah itu milik kamu?
26. Kamu berharap kepada pedang kamu. Perbuatan kamu menjijikkan. Kamu semua berzina. Mana boleh kamu berfikir tanah itu milik kamu?
27. Sampaikanlah amaran daripada Aku, TUHAN Raja, kepada mereka. Demi Aku, Allah yang hidup, orang yang tinggal di reruntuhan kota-kota itu akan dibunuh. Mereka yang tinggal di kawasan desa akan dimakan binatang buas. Mereka yang bersembunyi di gunung dan di gua akan mati kerana wabak.