7. Apabila Aku membinasakan engkau, Aku akan menutupi langit dan memadamkan segala bintang. Matahari akan diliputi awan, dan bulan pun tidak bercahaya lagi.
8. Aku akan memadamkan semua cahaya di langit, dan menjadikan negerimu gelap-gelita. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
9. Banyak bangsa akan cemas apabila Aku menyiarkan berita tentang kebinasaanmu ke negeri-negeri yang tidak engkau kenal.
10. Perbuatan-Ku terhadap engkau akan mengejutkan banyak bangsa. Apabila Aku mengayunkan pedang-Ku, raja-raja akan ketakutan. Pada hari engkau jatuh, mereka semua akan gementar dan menggigil kerana takut mati.’ ”
11. TUHAN Raja berfirman kepada raja Mesir, “Engkau akan menghadapi pedang raja Babilonia.
12. Askar-askar daripada bangsa-bangsa yang kejam akan menghunus pedang dan membunuh semua rakyatmu. Rakyatmu dan segala yang engkau banggakan akan musnah.
13. Aku akan membunuh ternakanmu di tepi sungai-sungai. Baik manusia mahupun binatang tidak akan mengeruhkan air sungai lagi.
14. Aku akan membuat air sungaimu jernih dan mengalir dengan tenang. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
15. Apabila Aku menjadikan Mesir padang gurun yang tandus dan lengang, serta membinasakan semua penduduk di sana, barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.
16. Amaran ini akan menjadi lagu ratapan, dan kaum wanita bangsa-bangsa lain akan menyanyikannya untuk meratapi Mesir dengan semua rakyatnya. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.”
17. Pada hari kelima belas, bulan pertama, tahun kedua belas masa pembuangan kami, TUHAN berfirman kepadaku,
18. “Hai manusia fana, merataplah bagi rakyat Mesir yang banyak itu. Hantarlah mereka bersama-sama bangsa lain yang kuat ke dunia orang mati.
19. Katakanlah kepada mereka,‘Adakah kamu berfikir kamu lebih cantik daripada orang lain?Kamu akan turun ke dunia orang mati,dan berbaring di sana bersama-sama orang yang tidak mengenal Allah.’
20. Rakyat Mesir akan gugur bersama-sama mereka yang mati dalam peperangan. Sebilah pedang sudah siap untuk membunuh mereka semua.
21. Para pahlawan dan orang yang memihak Mesir akan menyambut kedatangan orang Mesir ke dunia orang mati. Mereka bersorak, ‘Lihatlah, orang yang tidak mengenal Allah telah terbunuh dalam peperangan. Sekarang mereka ke mari, dan berbaring di sini!’
22. Asyur berada di sana, dikelilingi oleh kubur-kubur askarnya. Mereka semua telah terbunuh dalam peperangan,
23. dan kubur mereka terletak di bahagian yang paling dalam di dunia orang mati. Semua askarnya telah gugur dalam peperangan dan Asyur dikelilingi oleh kubur mereka. Namun pada suatu masa dahulu, mereka menimbulkan ketakutan di dunia orang hidup.
24. Elam berada di sana, dikelilingi oleh kubur-kubur askarnya. Mereka semua telah gugur dalam peperangan, lalu turun ke dunia orang mati tanpa mengenal Allah. Semasa hidup, mereka menimbulkan ketakutan antara semua orang, tetapi sekarang mereka telah mati dan menanggung malu.
25. Elam berbaring bersama-sama mereka yang terbunuh dalam peperangan, dikelilingi oleh kubur-kubur askarnya. Mereka semua tidak mengenal Allah. Semuanya gugur dalam peperangan. Semasa hidup, mereka menimbulkan ketakutan antara semua orang, tetapi sekarang mereka mati dan menanggung malu bersama-sama orang yang gugur dalam peperangan.
26. Mesekh dan Tubal berada di sana, di kelilingi oleh kubur-kubur askar mereka. Mereka semua tidak mengenal Allah, dan mereka semua gugur dalam peperangan. Namun pada suatu masa dahulu mereka menakutkan orang yang hidup.