5. Aku akan menghamburkan mayatmu yang membusuk itu di seluruh bukit dan lembah.
6. Aku akan menumpahkan darahmu sehingga membasahi bukit-bukit dan memenuhi anak-anak sungai.
7. Apabila Aku membinasakan engkau, Aku akan menutupi langit dan memadamkan segala bintang. Matahari akan diliputi awan, dan bulan pun tidak bercahaya lagi.
8. Aku akan memadamkan semua cahaya di langit, dan menjadikan negerimu gelap-gelita. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
9. Banyak bangsa akan cemas apabila Aku menyiarkan berita tentang kebinasaanmu ke negeri-negeri yang tidak engkau kenal.
10. Perbuatan-Ku terhadap engkau akan mengejutkan banyak bangsa. Apabila Aku mengayunkan pedang-Ku, raja-raja akan ketakutan. Pada hari engkau jatuh, mereka semua akan gementar dan menggigil kerana takut mati.’ ”
11. TUHAN Raja berfirman kepada raja Mesir, “Engkau akan menghadapi pedang raja Babilonia.
12. Askar-askar daripada bangsa-bangsa yang kejam akan menghunus pedang dan membunuh semua rakyatmu. Rakyatmu dan segala yang engkau banggakan akan musnah.
13. Aku akan membunuh ternakanmu di tepi sungai-sungai. Baik manusia mahupun binatang tidak akan mengeruhkan air sungai lagi.
14. Aku akan membuat air sungaimu jernih dan mengalir dengan tenang. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
15. Apabila Aku menjadikan Mesir padang gurun yang tandus dan lengang, serta membinasakan semua penduduk di sana, barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.
16. Amaran ini akan menjadi lagu ratapan, dan kaum wanita bangsa-bangsa lain akan menyanyikannya untuk meratapi Mesir dengan semua rakyatnya. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.”
17. Pada hari kelima belas, bulan pertama, tahun kedua belas masa pembuangan kami, TUHAN berfirman kepadaku,