Yehezkiel 32:2-13 Alkitab Berita Baik (BM)

2. “Hai manusia fana, berikanlah amaran keras kepada raja Mesir. Sampaikanlah firman-Ku kepadanya, ‘Di hadapan bangsa-bangsa lain engkau berlagak seperti singa, tetapi engkau lebih menyerupai buaya yang berkecimpung di dalam sungai. Kakimu mengeruhkan dan mengotorkan sungai-sungai.

3. Apabila bangsa-bangsa berkumpul, Aku akan menangkap engkau dengan jala-Ku dan membiarkan bangsa-bangsa menyeret jala itu ke darat.

4. Aku akan menghempaskan engkau ke tanah lalu menyuruh segala burung dan binatang di dunia untuk memakan engkau.

5. Aku akan menghamburkan mayatmu yang membusuk itu di seluruh bukit dan lembah.

6. Aku akan menumpahkan darahmu sehingga membasahi bukit-bukit dan memenuhi anak-anak sungai.

7. Apabila Aku membinasakan engkau, Aku akan menutupi langit dan memadamkan segala bintang. Matahari akan diliputi awan, dan bulan pun tidak bercahaya lagi.

8. Aku akan memadamkan semua cahaya di langit, dan menjadikan negerimu gelap-gelita. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.

9. Banyak bangsa akan cemas apabila Aku menyiarkan berita tentang kebinasaanmu ke negeri-negeri yang tidak engkau kenal.

10. Perbuatan-Ku terhadap engkau akan mengejutkan banyak bangsa. Apabila Aku mengayunkan pedang-Ku, raja-raja akan ketakutan. Pada hari engkau jatuh, mereka semua akan gementar dan menggigil kerana takut mati.’ ”

11. TUHAN Raja berfirman kepada raja Mesir, “Engkau akan menghadapi pedang raja Babilonia.

12. Askar-askar daripada bangsa-bangsa yang kejam akan menghunus pedang dan membunuh semua rakyatmu. Rakyatmu dan segala yang engkau banggakan akan musnah.

13. Aku akan membunuh ternakanmu di tepi sungai-sungai. Baik manusia mahupun binatang tidak akan mengeruhkan air sungai lagi.

Yehezkiel 32