Yehezkiel 30:10-25 Alkitab Berita Baik (BM)

10. TUHAN Raja berfirman, “Aku akan menggunakan Raja Nebukadnezar dari Babilonia untuk menghancurkan kekayaan Mesir.

11. Dia dan tenteranya yang ganas akan memusnahkan negeri itu. Mereka akan menyerang Mesir dengan pedang, sehingga negeri itu penuh dengan mayat.

12. Aku akan mengeringkan Sungai Nil dan menyerahkan Mesir ke dalam kekuasaan orang jahat. Orang asing akan memusnahkan seluruh negeri itu. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

13. TUHAN Raja berfirman, “Aku akan memusnahkan berhala-berhala dan dewa-dewa di Memphis. Tiada lagi raja yang akan memerintah di Mesir dan Aku akan menggentarkan semua orang.

14. Aku akan menjadikan bahagian selatan Mesir tandus dan lengang, dan Aku akan membakar kota Soan di sebelah utara. Aku akan menghukum Tebe, ibu kota itu,

15. dan memusnahkan kekayaannya. Aku akan melampiaskan kemurkaan-Ku kepada Pelusium, kota pertahanan Mesir.

16. Aku akan membakar Mesir, dan Pelusium pun akan sengsara. Tembok kota Tebe akan dirobohkan dan kota itu akan dilanda banjir.

17. Pemuda-pemuda kota Heliopolis dan Bubastis akan mati dalam peperangan, dan penduduk yang lain akan ditawan.

18. Kota Tahpanhes akan menjadi gelap pada hari Aku menaklukkan Mesir dan memusnahkan kuasanya yang sangat dibanggakannya. Mesir akan diliputi awan, dan penduduk semua kotanya akan ditawan.

19. Apabila Aku menghukum Mesir dengan cara demikian, barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.”

20. Pada hari ketujuh, bulan pertama, tahun kesebelas masa kami dalam buangan, TUHAN berfirman kepadaku,

21. “Hai manusia fana, Aku telah mematahkan lengan raja Mesir. Tiada sesiapa pun yang membalut lengannya agar pulih dan kuat semula untuk memegang pedang.

22. Oleh itu Aku, TUHAN Raja berfirman: Aku musuh raja Mesir. Aku akan mematahkan kedua-dua belah lengannya, baik yang masih kuat mahupun yang telah patah itu. Lalu pedang akan jatuh dari tangannya.

23. Aku akan mencerai-beraikan orang Mesir ke seluruh dunia.

24. Kemudian Aku akan menguatkan lengan raja Babilonia dan meletakkan pedang-Ku di tangannya. Tetapi Aku akan mematahkan lengan raja Mesir sehingga dia akan mengerang dan mati di hadapan raja Babilonia.

25. Aku akan melemahkan raja Mesir, tetapi Aku akan menguatkan raja Babilonia. Apabila Aku meletakkan pedang-Ku di tangan raja Babilonia, dan dia mengacungkan pedang itu ke arah Mesir, semua orang akan tahu bahawa Akulah TUHAN.

Yehezkiel 30