Yehezkiel 29:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Pada hari kedua belas, bulan kesepuluh, tahun kesepuluh masa kami dalam buangan, TUHAN berfirman kepadaku,

2. “Hai manusia fana, kecamlah raja Mesir. Beritahulah dia bahawa dia dan semua rakyatnya akan dihukum.

3. Beritahulah dia bahawa inilah firman TUHAN Raja kepada raja Mesir, ‘Aku musuhmu, hai buaya raksasa yang berbaring di sungai! Engkau berkata bahawa Sungai Nil itu milikmu, dan engkau yang menciptanya.

4. Aku akan memasang kait pada rahangmu, dan menyebabkan ikan-ikan di sungai melekat padamu. Lalu Aku akan mengangkat engkau dan segala ikan yang melekat padamu, keluar dari Sungai Nil.

5. Kemudian Aku akan melemparkan engkau bersama-sama semua ikan itu ke padang gurun. Tubuhmu akan terlantar di atas tanah dan tidak dikebumikan. Aku akan membiarkan tubuhmu dimakan burung dan binatang.

6. Maka semua penduduk Mesir akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ”TUHAN berfirman, “Umat Israel bergantung kepada kamu orang Mesir untuk menolong mereka, tetapi kamu hanya seperti tongkat yang lemah.

7. Ketika mereka bersandar pada kamu, kamu patah dan menusuk ketiak mereka sehingga belakang mereka tergeliat.

8. Oleh itu Aku, TUHAN Raja berfirman kepada kamu, bahawa Aku akan mendatangkan orang untuk menyerang kamu dengan pedang. Mereka akan membunuh penduduk dan ternakan kamu.

Yehezkiel 29