6. Oleh itu, dengarlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan, ‘Kerana engkau menyangka engkau sebijak dewa,
7. Aku akan mengirim musuh yang kejam untuk menyerang engkau. Mereka akan memusnahkan semua harta yang engkau peroleh dengan kepandaian dan kebijaksanaanmu itu.
8. Mereka akan membunuh engkau dan menguburkan engkau di laut.
9. Pada waktu itu, masihkah engkau dapat mengatakan bahawa engkau dewa? Apabila engkau menghadapi pembunuhmu, nyatalah engkau hanya manuisa fana dan bukan dewa.
10. Engkau akan mati seperti orang hina, dibunuh oleh orang bangsa asing yang tidak mengenal Allah. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.’ ”
11. TUHAN berfirman lagi kepadaku,
12. “Hai manusia fana, merataplah untuk raja Tirus. Sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja, firmankan kepadanya, ‘Engkau pernah menjadi contoh kesempurnaan. Dahulu engkau sungguh bijak dan kacak!
13. Engkau tinggal di taman Eden, taman Allah. Pakaianmu dihiasi dengan segala jenis batu permata: delima, berlian, topaz, beril, sardis, jasper, nilam, zamrud, dan garnet. Engkau juga mempunyai perhiasaan emas yang dibuat untukmu pada hari engkau diciptakan.
14. Aku menempatkan kerub yang menyeramkan di situ untuk menjaga engkau. Engkau tinggal di atas gunung-Ku yang suci dan berjalan di tengah-tengah batu permata yang berkilauan.
15. Kelakuanmu tidak bercela sejak engkau diciptakan sampai engkau mula berbuat jahat.
16. Engkau sibuk dengan perniagaanmu; hal itulah yang menyebabkan engkau menjadi kejam dan berdosa. Oleh itu Aku mengusir engkau dari gunung-Ku yang suci dan kerub yang menjaga engkau mengusir engkau dari tengah-tengah batu permata yang berkilauan itu.
17. Engkau sombong kerana rupamu yang kacak, dan engkau bertindak bodoh kerana engkau terkenal. Itulah sebabnya Aku membanting engkau ke tanah, dan menjadikan engkau sebagai amaran untuk raja-raja lain.
18. Perniagaanmu penuh dengan kecurangan sehingga tempat-tempat ibadatmu tercemar. Oleh itu Aku membakar kotamu sampai musnah. Semua orang yang memandang engkau sekarang hanya nampak abu.
19. Engkau sudah lenyap, hai raja Tirus! Engkau lenyap selama-lamanya! Semua bangsa yang mengenal engkau gerun kalau-kalau mereka juga akan mengalami kesudahanmu.’ ”
20. TUHAN berfirman kepadaku,
21. “Hai manusia fana, kecamlah kota Sidon.
22. Beritahulah penduduk di situ apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan: Aku musuh kamu, hai Sidon. Orang akan memuji Aku kerana apa yang Aku lakukan terhadap kamu. Mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN yang suci, apabila Aku menghukum penduduk kamu.
23. Aku akan mendatangkan wabak kepada kamu dan membiarkan darah mengalir di jalan-jalan kamu. Kamu akan diserang oleh musuh dari segala arah dan pendudukmu akan dibunuh. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.”