Yehezkiel 24:7-21 Alkitab Berita Baik (BM)

7. Pembunuhan berlaku di dalam kota, dan darah dicurah ke atas batu. Darah itu tidak dicurah ke atas tanah supaya ditutup oleh tanah.

8. Darah itu Aku biarkan di situ, supaya dapat dilihat orang dan menuntut balasan.”

9. Inilah firman TUHAN Raja, “Malanglah kota yang penuh dengan pembunuh! Aku sendiri akan menyusun kayu api.

10. Tambahlah kayu lagi! Kipaslah api! Masaklah daging itu! Masaklah hingga kuahnya kering. Bakarlah tulang-tulangnya!

11. Lalu tinggalkanlah periuk gangsa yang kosong di atas api sehingga merah membara. Sesudah karatnya terbakar, periuk itu akan bersih semula menurut peraturan agama.

12. Tetapi tidak semua karatnya akan hilang dibakar api.

13. Hai Yerusalem, kecabulanmu telah menajiskan engkau. Walaupun Aku mencuba membersihkan engkau, namun engkau tetap najis. Engkau tidak akan bersih semula sehingga engkau merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku.

14. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Sudah tiba masanya bagi Aku bertindak. Aku tidak akan melupakan dosamu ataupun menunjukkan belas kasihan kepadamu. Engkau akan dihukum kerana perbuatanmu.” TUHAN Raja telah berfirman.

15. TUHAN berfirman kepadaku,

16. “Hai manusia fana, dengan tiba-tiba Aku akan mengambil orang yang paling engkau kasihi, tetapi engkau tidak boleh meratap, atau menangis, atau membiarkan air matamu berlinang.

17. Jangan biar orang mendengar sedu-sedanmu. Jangan berjalan tanpa ikat kepala atau kasut sebagai tanda berkabung. Jangan tutupi muka atau makan makanan perkabungan.”

18. Pada pagi hari aku bercakap dengan umat itu dan pada malam itu isteriku meninggal. Esok harinya aku melakukan apa yang diperintahkan kepadaku.

19. Orang bertanya kepadaku, “Mengapakah kamu berbuat begitu?”

20. Aku menjawab demikian, “TUHAN telah berfirman kepadaku dan menyuruh aku

21. menyampaikan perkhabaran ini kepada kamu, umat Israel: Kamu membanggakan kekukuhan Rumah TUHAN. Kamu suka memandang dan melawatnya, tetapi TUHAN akan menajiskannya. Anggota keluarga kamu yang masih muda, yang tertinggal di Yerusalem akan dibunuh dalam peperangan.

Yehezkiel 24