Yehezkiel 24:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Pada hari kesepuluh, bulan kesepuluh, tahun kesembilan masa kami dalam buangan, TUHAN berfirman kepadaku,

2. “Hai manusia fana, catatkan tarikh hari ini, kerana pada hari inilah raja Babilonia mula mengepung Yerusalem.

3. Aku, TUHAN Raja mempunyai perumpamaan untuk disampaikan kepada umat-Ku yang suka memberontak:Letakkan periuk di atas api,dan penuhkan periuk dengan air.

4. Masukkan daging yang terbaik di dalamnya:daging bahu dan daging paha,dan tulang-tulang yang banyak sumsumnya.

5. Gunakan daging domba yang terbaik,dan susunlah kayu di bawah periuk.Biarlah airnya mendidih,rebuslah daging dan tulang-tulang itu.”

6. Inilah firman TUHAN Raja, “Malanglah kota yang penuh dengan pembunuh! Keadaannya seperti periuk berkarat yang tidak pernah dibersihkan. Daging yang ada di dalamnya dikeluarkan sepotong demi sepotong, sehingga semuanya habis.

7. Pembunuhan berlaku di dalam kota, dan darah dicurah ke atas batu. Darah itu tidak dicurah ke atas tanah supaya ditutup oleh tanah.

8. Darah itu Aku biarkan di situ, supaya dapat dilihat orang dan menuntut balasan.”

9. Inilah firman TUHAN Raja, “Malanglah kota yang penuh dengan pembunuh! Aku sendiri akan menyusun kayu api.

10. Tambahlah kayu lagi! Kipaslah api! Masaklah daging itu! Masaklah hingga kuahnya kering. Bakarlah tulang-tulangnya!

11. Lalu tinggalkanlah periuk gangsa yang kosong di atas api sehingga merah membara. Sesudah karatnya terbakar, periuk itu akan bersih semula menurut peraturan agama.

12. Tetapi tidak semua karatnya akan hilang dibakar api.

13. Hai Yerusalem, kecabulanmu telah menajiskan engkau. Walaupun Aku mencuba membersihkan engkau, namun engkau tetap najis. Engkau tidak akan bersih semula sehingga engkau merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku.

14. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Sudah tiba masanya bagi Aku bertindak. Aku tidak akan melupakan dosamu ataupun menunjukkan belas kasihan kepadamu. Engkau akan dihukum kerana perbuatanmu.” TUHAN Raja telah berfirman.

Yehezkiel 24