17. Orang Babilonia pun datang dan melakukan hubungan jenis dengan dia. Mereka menodai dia sedemikian rupa sehingga akhirnya dia muak terhadap mereka.
18. Dia mempertontonkan tubuhnya yang telanjang kepada umum sehingga semua orang tahu bahawa dia seorang pelacur. Aku berasa muak terhadapnya, sebagaimana Aku muak terhadap kakaknya.
19. Semakin lama semakin sering dia melacur. Dia berkelakuan seperti waktu mudanya di Mesir.
20. Dia penuh berahi terhadap lelaki yang berhawa nafsu kuat seperti keldai atau kuda jantan.” (
21. Hai Oholiba, engkau ingin mengulangi kecabulanmu pada masa mudamu di Mesir. Di sana kaum lelaki meraba-raba buah dadamu dan engkau hilang keperawananmu.)
22. “Oleh itu, hai Oholiba, dengarlah firman daripada-Ku, TUHAN Raja. Engkau telah jemu dengan kekasih-kekasihmu. Tetapi sekarang Aku akan membuat mereka marah terhadapmu dan mengepungmu.
23. Aku akan mengumpulkan semua orang Babilonia, orang Kasdim, kaum lelaki dari Pekod, Soa, Koa, dan semua orang Asyur. Aku akan mengumpulkan semua pemuda kacak daripada golongan bangsawan dan pegawai, serta semua pegawai besar dan askar pasukan berkuda yang berpangkat tinggi.
24. Mereka akan menyerang engkau dari utara dengan tentera yang besar, dengan kereta kuda dan pedati pembawa bekal. Dengan memakai perisai dan topi besi, mereka akan mengepung engkau. Aku akan menyerahkan engkau kepada mereka dan mereka akan menghakimi engkau menurut undang-undang mereka sendiri.
25. Kerana Aku murka terhadapmu, Aku akan membiarkan mereka memperlakukan engkau dengan kejam. Mereka akan memotong hidung dan telingamu, serta membunuh anak-anakmu yang lelaki dan perempuan. Sesungguhnya mereka akan menangkap lalu membakar anak-anakmu dengan hidup-hidup.
26. Mereka akan mengoyakkan pakaianmu dan merampas perhiasanmu.
27. Aku akan menghentikan nafsu berahimu dan pelacuran yang kaulakukan sejak engkau di Mesir. Engkau tidak akan melihat berhala lagi atau ingat kepada Mesir.”
28. Demikianlah TUHAN Raja berfirman, “Aku akan menyerahkan engkau kepada orang yang memuakkan engkau dan yang engkau benci.
29. Kerana mereka pun membenci engkau, mereka akan merampas segala hasil jerih payahmu, lalu membiarkan engkau bogel seperti pelacur. Nafsu berahi dan pelacuranmu
30. telah menyebabkan hal ini berlaku kepadamu. Engkau menjadi pelacur bagi bangsa-bangsa, dan menajiskan dirimu dengan berhala-berhala mereka.