2. “Hai manusia fana, ada dua orang adik-beradik perempuan.
3. Ketika masih muda, mereka tinggal di Mesir. Di situ mereka kehilangan keperawanan mereka lalu menjadi pelacur.
4. Yang lebih tua bernama Ohola (dia melambangkan Samaria), dan yang muda bernama Oholiba (dia melambangkan Yerusalem). Aku berkahwin dengan kedua-duanya, dan mendapat anak daripada mereka.
5. Walaupun Ohola telah menjadi isteri-Ku, dia tetap menjadi pelacur dan berahi terhadap kekasih-kekasihnya dari Asyur.
6. Mereka askar yang berpakaian seragam warna ungu, para bangsawan, dan pegawai berpangkat tinggi; mereka semua ahli pasukan tentera berkuda dan mereka kacak.
7. Ohola menjadi pelacur bagi semua pegawai negeri Asyur. Nafsunya mengakibatkan dia menajiskan diri dengan menyembah berhala-berhala Asyur.
8. Dia terus-menerus melacur seperti yang dilakukannya dahulu di Mesir, tempat dia kehilangan keperawanannya. Sejak masa mudanya, orang lelaki tidur dengan dia dan memperlakukannya seperti pelacur.
9. Oleh itu Aku menyerahkan dia kepada kekasihnya, orang Asyur yang sangat diingininya.
14-15. Makin lama makin jahatlah Oholiba. Dia tertarik kepada gambar-gambar berwarna merah marak yang terukir pada tembok. Gambar itu merupakan pegawai tinggi tentera Babilonia dengan tali pinggang dan serban yang berjuntai.
16. Sebaik sahaja Oholiba melihat gambar itu, berahinya memuncak lalu dia mengirim utusan kepada mereka di Babilonia.
17. Orang Babilonia pun datang dan melakukan hubungan jenis dengan dia. Mereka menodai dia sedemikian rupa sehingga akhirnya dia muak terhadap mereka.
18. Dia mempertontonkan tubuhnya yang telanjang kepada umum sehingga semua orang tahu bahawa dia seorang pelacur. Aku berasa muak terhadapnya, sebagaimana Aku muak terhadap kakaknya.
19. Semakin lama semakin sering dia melacur. Dia berkelakuan seperti waktu mudanya di Mesir.
20. Dia penuh berahi terhadap lelaki yang berhawa nafsu kuat seperti keldai atau kuda jantan.” (
21. Hai Oholiba, engkau ingin mengulangi kecabulanmu pada masa mudamu di Mesir. Di sana kaum lelaki meraba-raba buah dadamu dan engkau hilang keperawananmu.)
22. “Oleh itu, hai Oholiba, dengarlah firman daripada-Ku, TUHAN Raja. Engkau telah jemu dengan kekasih-kekasihmu. Tetapi sekarang Aku akan membuat mereka marah terhadapmu dan mengepungmu.
23. Aku akan mengumpulkan semua orang Babilonia, orang Kasdim, kaum lelaki dari Pekod, Soa, Koa, dan semua orang Asyur. Aku akan mengumpulkan semua pemuda kacak daripada golongan bangsawan dan pegawai, serta semua pegawai besar dan askar pasukan berkuda yang berpangkat tinggi.
24. Mereka akan menyerang engkau dari utara dengan tentera yang besar, dengan kereta kuda dan pedati pembawa bekal. Dengan memakai perisai dan topi besi, mereka akan mengepung engkau. Aku akan menyerahkan engkau kepada mereka dan mereka akan menghakimi engkau menurut undang-undang mereka sendiri.
25. Kerana Aku murka terhadapmu, Aku akan membiarkan mereka memperlakukan engkau dengan kejam. Mereka akan memotong hidung dan telingamu, serta membunuh anak-anakmu yang lelaki dan perempuan. Sesungguhnya mereka akan menangkap lalu membakar anak-anakmu dengan hidup-hidup.
26. Mereka akan mengoyakkan pakaianmu dan merampas perhiasanmu.