Yehezkiel 22:4-22 Alkitab Berita Baik (BM)

4. Kamu bersalah kerana telah melakukan pembunuhan, dan kamu dinajiskan oleh berhala-berhala yang kamu buat. Hukuman terakhir bagimu sudah dekat. Aku membiarkan bangsa-bangsa dan semua negeri mengolok-olokkan dan mencerca kamu.

5. Negeri-negeri yang dekat dan yang jauh mengejek kamu kerana kamu melanggar hukum dan peraturan.

6. Semua pemimpin Israel bergantung kepada kekuatan mereka sendiri dan melakukan pembunuhan.

7. Tiada sesiapa pun di kota itu menghormati ibu bapanya. Kamu menipu orang asing, serta memperdayakan balu dan yatim piatu.

8. Kamu memandang rendah tempat-tempat yang suci dan kamu tidak merayakan hari Sabat.

9. Sesetengah umatmu berdusta agar orang lain dihukum bunuh. Ada pula yang makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala. Ada orang yang selalu menuruti hawa nafsu mereka.

10. Ada orang yang bersetubuh dengan isteri bapa mereka. Ada orang yang memaksa wanita yang sedang haid untuk bersetubuh dengan mereka.

11. Ada orang yang berzina; yang lain pula bersetubuh dengan menantu perempuan atau saudara perempuan mereka yang seayah lain ibu.

12. Ada orang yang menjadi pembunuh upahan. Ada orang memungut faedah wang daripada sesama orang Israel. Mereka menjadi kaya dengan menipu orang. Mereka sudah melupakan Aku.” TUHAN Raja telah berfirman.

13. “Aku akan menghantam perompak dan pembunuh kamu.

14. Masih beranikah kamu atau masih kuatkah kamu mengangkat tanganmu setelah Aku menghukum kamu? Aku, TUHAN telah berfirman dan Aku akan melakukan apa yang telah Kufirmankan.

15. Aku akan mencerai-beraikan pendudukmu ke semua negeri dan bangsa. Aku akan menghentikan perbuatanmu yang jahat itu.

16. Bangsa-bangsa lain akan menghina kamu, tetapi kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.”

17. TUHAN berfirman kepadaku,

18. “Hai manusia fana, umat Israel tidak berguna bagi-Ku. Mereka seperti sanga - tembaga, timah putih, besi, dan timah hitam - yang tersisa selepas perak dimurnikan di dalam relau.

21. Sesungguhnya Aku akan mengumpulkan mereka di Yerusalem, menyalakan api kemurkaan-Ku di bawah mereka, lalu melebur mereka.

22. Sebagaimana perak dilebur di dalam relau, demikianlah Israel akan dilebur di Yerusalem. Barulah mereka tahu bahawa mereka merasakan kemurkaan TUHAN.”

Yehezkiel 22