Yehezkiel 22:11-26 Alkitab Berita Baik (BM)

11. Ada orang yang berzina; yang lain pula bersetubuh dengan menantu perempuan atau saudara perempuan mereka yang seayah lain ibu.

12. Ada orang yang menjadi pembunuh upahan. Ada orang memungut faedah wang daripada sesama orang Israel. Mereka menjadi kaya dengan menipu orang. Mereka sudah melupakan Aku.” TUHAN Raja telah berfirman.

13. “Aku akan menghantam perompak dan pembunuh kamu.

14. Masih beranikah kamu atau masih kuatkah kamu mengangkat tanganmu setelah Aku menghukum kamu? Aku, TUHAN telah berfirman dan Aku akan melakukan apa yang telah Kufirmankan.

15. Aku akan mencerai-beraikan pendudukmu ke semua negeri dan bangsa. Aku akan menghentikan perbuatanmu yang jahat itu.

16. Bangsa-bangsa lain akan menghina kamu, tetapi kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.”

17. TUHAN berfirman kepadaku,

18. “Hai manusia fana, umat Israel tidak berguna bagi-Ku. Mereka seperti sanga - tembaga, timah putih, besi, dan timah hitam - yang tersisa selepas perak dimurnikan di dalam relau.

19-20. Oleh itu Aku, TUHAN Raja memberitahu mereka sekarang, bahawa mereka tidak berguna seperti sanga itu. Sebagaimana orang memasukkan bijih perak, tembaga, besi, dan timah hitam ke dalam relau, demikian juga Aku akan mengumpulkan dan membawa mereka ke Yerusalem. Sebagaimana api melebur bijih logam, demikian juga kemurkaan-Ku akan melebur mereka.

21. Sesungguhnya Aku akan mengumpulkan mereka di Yerusalem, menyalakan api kemurkaan-Ku di bawah mereka, lalu melebur mereka.

22. Sebagaimana perak dilebur di dalam relau, demikianlah Israel akan dilebur di Yerusalem. Barulah mereka tahu bahawa mereka merasakan kemurkaan TUHAN.”

23. TUHAN berfirman lagi kepadaku,

24. “Hai manusia fana, beritahulah umat Israel bahawa negeri mereka tidak suci. Oleh itu Aku murka dan menghukum mereka.

25. Pemimpin-pemimpin mereka seperti singa yang mengaum setelah menerkam mangsa. Mereka membunuh orang, merampas segala wang dan harta, serta menyebabkan banyak wanita menjadi balu.

26. Para imam melanggar hukum-Ku dan tidak menghormati apa yang suci bagi-Ku. Mereka tidak membezakan apa yang suci dan apa yang tidak suci. Mereka tidak mengajar perbezaan antara yang halal dan yang haram. Mereka tidak menghiraukan hari Sabat. Akibatnya umat Israel tidak menghormati Aku.

Yehezkiel 22