Yehezkiel 20:8-22 Alkitab Berita Baik (BM)

8. Tetapi mereka melawan Aku dan tidak mahu mendengar firman-Ku. Mereka tidak membuang berhala-berhala yang menjijikkan itu, ataupun berhenti menyembah berhala orang Mesir. Pada waktu mereka masih di Mesir, Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku.

9. Tetapi Aku tidak berbuat demikian, kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina. Di hadapan penduduk Mesir, Aku telah mengumumkan kepada umat Israel bahawa Aku akan memimpin mereka keluar dari Mesir.

10. Maka Aku membawa mereka keluar dari Mesir ke padang gurun.

11. Aku memberi mereka perintah-Ku dan mengajar mereka hukum-Ku, yang memberikan hidup kepada sesiapa yang mentaatinya.

12. Aku menyuruh mereka menghormati hari Sabat sebagai tanda perjanjian antara Aku dengan mereka, untuk mengingatkan mereka bahawa Aku, TUHAN telah mengkhususkan mereka untuk-Ku.

13. Tetapi di padang gurun itu pun mereka melawan Aku. Mereka melanggar hukum-Ku dan menolak perintah-Ku, yang memberikan hidup kepada sesiapa yang mentaatinya. Mereka sama sekali mencemarkan hari Sabat. Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku di padang gurun itu dan Aku hendak membinasakan mereka.

14. Tetapi Aku tidak berbuat demikian kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina antara bangsa-bangsa yang telah melihat Aku memimpin umat Israel keluar dari Mesir.

15. Oleh itu di padang gurun itu Aku berjanji tidak akan membenarkan mereka pergi ke tanah yang telah Aku berikan kepada mereka, tanah yang kaya dan subur, dan terbaik.

16. Aku berbuat demikian kerana mereka telah menolak perintah-Ku, melanggar hukum-Ku, dan mencemarkan hari Sabat. Mereka lebih suka menyembah berhala-berhala mereka.

17. Tetapi kemudian Aku mengasihani mereka. Aku tidak membunuh mereka di padang gurun itu.

18. Sebaliknya Aku memberikan amaran kepada kaum muda: Jangan patuh kepada hukum nenek moyang kamu; jangan ikut adat resam mereka, dan jangan najiskan diri dengan menyembah berhala-berhala mereka.

19. Aku TUHAN, Allah kamu. Taatilah hukum dan perintah-Ku.

20. Rayakanlah hari Sabat sebagai tanda perjanjian antara Aku dengan kamu, untuk mengingatkan kamu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu.

21. Tetapi generasi kaum muda itu pun melawan Aku. Mereka melanggar hukum-Ku dan mengabaikan perintah-Ku yang memberikan hidup kepada sesiapa yang mentaatinya. Mereka mencemarkan hari Sabat. Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku di padang gurun itu dan Aku hendak membunuh mereka semua.

22. Tetapi Aku tidak berbuat demikian, kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina antara bangsa-bangsa yang telah melihat Aku membawa umat Israel keluar dari Mesir.

Yehezkiel 20