4. Hai manusia fana, adakah engkau bersedia menjatuhkan hukuman kepada mereka? Kalau engkau sedia melakukan hal itu, ingatkanlah mereka tentang segala perbuatan jijik yang dilakukan oleh nenek moyang mereka.
5. Sampaikanlah firman-Ku kepada mereka. Ketika Aku memilih Israel, Aku membuat perjanjian dengan mereka. Aku menyatakan diri-Ku kepada mereka di Mesir dan memberitahu mereka, ‘Akulah TUHAN, Allah kamu.’
6. Ketika itulah Aku berjanji akan membawa mereka keluar dari Mesir, dan memimpin mereka ke tanah yang telah Kupilih untuk mereka, tanah yang kaya dan subur, dan terbaik.
7. Aku menyuruh mereka membuang berhala yang menjijikkan, yang disukai mereka, dan melarang mereka menajiskan diri dengan menyembah berhala orang Mesir, kerana Akulah TUHAN, Allah mereka.
8. Tetapi mereka melawan Aku dan tidak mahu mendengar firman-Ku. Mereka tidak membuang berhala-berhala yang menjijikkan itu, ataupun berhenti menyembah berhala orang Mesir. Pada waktu mereka masih di Mesir, Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku.
9. Tetapi Aku tidak berbuat demikian, kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina. Di hadapan penduduk Mesir, Aku telah mengumumkan kepada umat Israel bahawa Aku akan memimpin mereka keluar dari Mesir.
33-34. “Demi Aku, TUHAN Raja, Allah yang hidup, Aku memberikan amaran kepada kamu bahawa kerana kemurkaan-Ku, Aku akan memerintah kamu dengan keras dan tegas. Kamu akan merasakan kuasa dan kemurkaan-Ku apabila Aku mengumpulkan dan membawa kamu kembali dari negeri-negeri tempat kamu tercerai-cerai.
35. Aku akan membawa kamu ke ‘Gurun Bangsa-Bangsa’. Di sana Aku akan menghakimi kamu berhadapan muka.
36. Aku akan menghakimi kamu seperti Aku menghakimi nenek moyang kamu di padang gurun Sinai dahulu.” Demikianlah firman TUHAN Raja.