Yehezkiel 20:28-36 Alkitab Berita Baik (BM)

28. Aku membawa mereka ke tanah yang Aku janjikan, tetapi apabila mereka nampak bukit yang tinggi-tinggi dan pokok hijau, mereka mempersembahkan korban di tempat-tempat itu. Mereka membangkitkan kemurkaan-Ku dengan korban yang dibakar dan wain yang dipersembahkan mereka.

29. Aku bertanya: Apakah tempat-tempat tinggi yang kamu kunjungi itu? Sejak itu tempat itu dinamakan ‘Tempat-tempat tinggi’.

30. Oleh itu sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada umat Israel: Mengapakah kamu mesti berdosa seperti nenek moyang kamu, dan mengejar berhala-berhala mereka?

31. Bahkan sampai hari ini pun kamu memberikan persembahan yang sama, dan menajiskan diri dengan membakar anak-anak kamu sebagai korban kepada berhala-berhala. Kemudian kamu, hai umat Israel, datang pula untuk menanyakan kehendak-Ku! Demi Aku, Allah yang hidup, TUHAN Raja, Aku tidak akan membenarkan kamu menanyakan apa-apa pun.

32. Kamu bertekad menjadi seperti bangsa-bangsa lain, seperti orang yang tinggal di negeri-negeri lain dan yang menyembah pokok dan batu. Hal itu pasti tidak akan berlaku.”

33-34. “Demi Aku, TUHAN Raja, Allah yang hidup, Aku memberikan amaran kepada kamu bahawa kerana kemurkaan-Ku, Aku akan memerintah kamu dengan keras dan tegas. Kamu akan merasakan kuasa dan kemurkaan-Ku apabila Aku mengumpulkan dan membawa kamu kembali dari negeri-negeri tempat kamu tercerai-cerai.

35. Aku akan membawa kamu ke ‘Gurun Bangsa-Bangsa’. Di sana Aku akan menghakimi kamu berhadapan muka.

36. Aku akan menghakimi kamu seperti Aku menghakimi nenek moyang kamu di padang gurun Sinai dahulu.” Demikianlah firman TUHAN Raja.

Yehezkiel 20