Yehezkiel 20:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Pada hari kesepuluh, bulan kelima, dalam tahun ketujuh masa kami dalam buangan, beberapa orang pemimpin masyarakat Israel datang bertanya kepadaku tentang kehendak TUHAN. Mereka duduk di hadapanku.

2. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku,

3. “Hai manusia fana, berkatalah kepada pemimpin-pemimpin ini. Beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman begini: Kamu datang hendak menanyakan kehendak-Ku, bukan? Demi Aku, Allah yang hidup, Aku tidak akan membenarkan kamu menanyakan apa-apa pun. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.

4. Hai manusia fana, adakah engkau bersedia menjatuhkan hukuman kepada mereka? Kalau engkau sedia melakukan hal itu, ingatkanlah mereka tentang segala perbuatan jijik yang dilakukan oleh nenek moyang mereka.

5. Sampaikanlah firman-Ku kepada mereka. Ketika Aku memilih Israel, Aku membuat perjanjian dengan mereka. Aku menyatakan diri-Ku kepada mereka di Mesir dan memberitahu mereka, ‘Akulah TUHAN, Allah kamu.’

6. Ketika itulah Aku berjanji akan membawa mereka keluar dari Mesir, dan memimpin mereka ke tanah yang telah Kupilih untuk mereka, tanah yang kaya dan subur, dan terbaik.

7. Aku menyuruh mereka membuang berhala yang menjijikkan, yang disukai mereka, dan melarang mereka menajiskan diri dengan menyembah berhala orang Mesir, kerana Akulah TUHAN, Allah mereka.

8. Tetapi mereka melawan Aku dan tidak mahu mendengar firman-Ku. Mereka tidak membuang berhala-berhala yang menjijikkan itu, ataupun berhenti menyembah berhala orang Mesir. Pada waktu mereka masih di Mesir, Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku.

9. Tetapi Aku tidak berbuat demikian, kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina. Di hadapan penduduk Mesir, Aku telah mengumumkan kepada umat Israel bahawa Aku akan memimpin mereka keluar dari Mesir.

10. Maka Aku membawa mereka keluar dari Mesir ke padang gurun.

11. Aku memberi mereka perintah-Ku dan mengajar mereka hukum-Ku, yang memberikan hidup kepada sesiapa yang mentaatinya.

12. Aku menyuruh mereka menghormati hari Sabat sebagai tanda perjanjian antara Aku dengan mereka, untuk mengingatkan mereka bahawa Aku, TUHAN telah mengkhususkan mereka untuk-Ku.

13. Tetapi di padang gurun itu pun mereka melawan Aku. Mereka melanggar hukum-Ku dan menolak perintah-Ku, yang memberikan hidup kepada sesiapa yang mentaatinya. Mereka sama sekali mencemarkan hari Sabat. Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku di padang gurun itu dan Aku hendak membinasakan mereka.

14. Tetapi Aku tidak berbuat demikian kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina antara bangsa-bangsa yang telah melihat Aku memimpin umat Israel keluar dari Mesir.

15. Oleh itu di padang gurun itu Aku berjanji tidak akan membenarkan mereka pergi ke tanah yang telah Aku berikan kepada mereka, tanah yang kaya dan subur, dan terbaik.

Yehezkiel 20