Yehezkiel 18:12-21 Alkitab Berita Baik (BM)

12. Dia menipu orang miskin, merompak, dan tidak mengembalikan barang yang diterimanya sebagai jaminan untuk pinjaman. Dia pergi ke kuil-kuil dan menyembah berhala yang menjijikkan,

13. serta minta faedah apabila meminjamkan wang. Adakah orang itu akan hidup? Tentu tidak! Dia telah melakukan semua perkara yang menjijikkan itu, dan oleh itu dia akan mati. Dia bertanggungjawab terhadap kematiannya sendiri.

14. Sekarang andaikata orang yang melakukan banyak kejahatan ini mempunyai seorang anak lelaki, dan anak itu melihat segala dosa bapanya tetapi tidak mengikut contohnya.

15. Dia tidak menyembah berhala orang Israel, ataupun makan korban yang dipersembahkan di tempat-tempat pemujaan. Dia tidak menggoda isteri orang lain,

16. atau menindas orang atau merompak sesiapa. Dia mengembalikan barang yang diterimanya sebagai jaminan untuk pinjaman. Dia memberikan makanan kepada orang yang lapar dan pakaian kepada orang yang tidak mempunyai pakaian.

17. Dia tidak mahu melakukan kejahatan dan tidak minta faedah apabila meminjamkan wang. Dia mematuhi perintah-Ku dan mentaati hukum-Ku. Orang itu tidak akan mati kerana dosa bapanya, tetapi dia pasti akan hidup.

18. Sebaliknya, bapanya yang menipu, merompak dan selalu melakukan kejahatan terhadap semua orang, akan mati kerana dosa yang telah dilakukannya sendiri.

19. Mungkin kamu bertanya mengapa anak itu tidak menanggung akibat daripada dosa bapanya. Jawapannya adalah anak itu berbuat yang adil dan baik. Dia mentaati hukum-Ku dan melakukannya dengan setia. Oleh itu dia pasti akan hidup.

20. Orang yang berdosa akan mati. Seorang anak tidak usah menanggung akibat daripada dosa bapanya. Demikian juga seorang bapa tidak usah menanggung akibat daripada dosa anaknya. Seorang yang baik akan menerima ganjaran kerana kebaikannya, dan seorang yang jahat akan menanggung akibat daripada kejahatannya.

21. Jika seorang jahat berhenti berbuat dosa, dan mula mentaati hukum-Ku, serta melakukan apa yang benar dan baik, dia tidak akan mati. Dia pasti akan hidup.

Yehezkiel 18