Yehezkiel 16:6-18 Alkitab Berita Baik (BM)

6. Kemudian Aku lalu dan nampak engkau menggeliat dalam darahmu sendiri, tetapi Aku tidak membiarkan engkau mati.

7. Aku memelihara engkau sehingga engkau membesar seperti tanaman yang subur. Engkau tumbuh sihat dan tinggi, dan menjadi wanita muda. Buah dadamu montok dan rambutmu sudah tumbuh, tetapi engkau masih bogel.

8. Ketika Aku lalu lagi, Aku sedar bahawa masamu untuk bercinta sudah tiba. Aku menutupi tubuhmu yang bogel dengan jubah-Ku. Aku berjanji akan mencintai engkau dan Aku membuat janji perkahwinan dengan engkau agar engkau menjadi milik-Ku.” Demikianlah firman TUHAN Raja.

9. “Kemudian Aku mengambil air dan mencuci darah yang ada pada tubuhmu. Aku menyapu minyak zaitun pada kulitmu.

10. Aku memakaikan engkau pakaian bersulam, kasut kulit yang terbaik, ikat kepala daripada kain linen, dan jubah sutera.

11. Aku mengenakan perhiasan gelang dan kalung padamu.

12. Aku memberi engkau cincin hidung, anting-anting, dan mahkota yang indah.

13. Perhiasanmu dibuat daripada emas dan perak, dan pakaianmu dibuat daripada linen, sutera, dan kain bersulam. Engkau makan roti yang dibuat daripada gandum terbaik, dengan madu dan minyak zaitun. Kecantikanmu luar biasa, sehingga engkau menjadi ratu.

14. Kerana kecantikanmu, engkau menjadi termasyhur antara semua bangsa. Akulah yang menyebabkan engkau secantik itu!” Demikianlah firman TUHAN Raja.

15. “Tetapi engkau menyalahgunakan kecantikanmu dan keharuman namamu. Engkau tidur dengan sesiapa sahaja yang lalu.

16. Engkau menghiasi tempat pemujaanmu dengan pakaianmu, dan seperti pelacur engkau memberikan tubuhmu kepada setiap orang.

17. Engkau menggunakan emas dan perak yang Kuberikan itu untuk membentuk patung-patung orang lelaki, lalu engkau berbuat cabul dengan patung itu.

18. Engkau mengambil pakaian-pakaian bersulam yang Kuberikan kepadamu lalu engkau mengenakannya pada patung-patung itu. Kepada patung itu engkau mempersembahkan minyak zaitun dan kemenyan yang engkau terima daripada Aku.

Yehezkiel 16