29. Engkau juga menjadi pelacur kepada orang Babilonia, kaum pedagang itu, tetapi mereka pun tidak dapat memuaskan nafsumu.”
30. TUHAN Raja berfirman, “Segala perbuatanmu itu seperti perbuatan seorang pelacur yang tidak tahu malu.
31. Di tiap-tiap jalan engkau membina tempat untuk menyembah berhala dan melacur. Engkau melakukan hal itu bukan untuk mendapat wang seperti pelacur.
32. Engkau seperti isteri yang mengkhianati suami dan berzina dengan lelaki lain.
33. Seorang pelacur menerima bayaran, tetapi engkau memberikan hadiah kepada semua kekasihmu. Engkau mengumpan orang dari mana-mana tempat supaya tidur bersama-samamu.
34. Engkau ini pelacur yang luar biasa! Tiada sesiapa pun memaksa engkau menjadi pelacur. Engkau tidak dibayar, sebaliknya engkau yang memberikan bayaran. Aneh betul engkau ini!”
35. Hai Yerusalem, engkau pelacur! Dengarlah firman TUHAN.
36. Demikianlah firman TUHAN Raja, “Engkau menanggalkan pakaian, lalu seperti pelacur engkau menyerahkan tubuh kepada kekasih-kekasihmu dan segala berhalamu yang menjijikkan itu. Engkau membunuh anakmu dan mempersembahkan mereka sebagai korban kepada berhala.
37. Oleh itu Aku akan mengumpulkan semua bekas kekasihmu - baik yang engkau sukai mahupun yang engkau benci. Aku akan menyuruh mereka mengelilingi engkau, lalu Aku akan menanggalkan pakaianmu supaya mereka melihat tubuhmu yang bogel.
38. Aku akan menghukum engkau kerana perzinaan serta pembunuhan yang telah engkau lakukan. Kerana Aku sangat murka, Aku menjatuhi engkau hukuman mati!
39. Aku akan menyerahkan engkau kepada mereka, dan mereka akan merobohkan tempat-tempat engkau melacur serta menyembah berhala. Mereka akan merampas pakaian dan perhiasanmu, sehingga engkau bogel.
40. Mereka akan menghasut orang ramai supaya merejam engkau, dan mereka akan mencincang tubuhmu dengan pedang.
41. Mereka akan membakar rumah-rumahmu dan membiarkan kaum wanita melihat engkau dihukum. Aku akan menghentikan pelacuranmu. Engkau tidak akan memberikan hadiah kepada kekasih-kekasihmu lagi.
42. Barulah Aku tenang dan kemurkaan-Ku reda. Aku tidak akan murka ataupun cemburu lagi.
43. Engkau lupa bagaimana Aku memperlakukan engkau semasa engkau kecil, dan engkau membangkitkan kemurkaan-Ku dengan segala perbuatanmu. Itulah sebabnya engkau mesti menanggung hukumannya. Mengapakah engkau berzina pula setelah melakukan segala perbuatan lain yang menjijikkan itu?” TUHAN Raja telah berfirman.
44. TUHAN berfirman, “Orang akan menggunakan pepatah ini terhadap dirimu, hai Yerusalem: ‘Seperti ibunya, begitu juga anaknya.’