17. Engkau menggunakan emas dan perak yang Kuberikan itu untuk membentuk patung-patung orang lelaki, lalu engkau berbuat cabul dengan patung itu.
18. Engkau mengambil pakaian-pakaian bersulam yang Kuberikan kepadamu lalu engkau mengenakannya pada patung-patung itu. Kepada patung itu engkau mempersembahkan minyak zaitun dan kemenyan yang engkau terima daripada Aku.
19. Aku memberi engkau makanan yang terbaik, iaitu gandum, minyak zaitun, dan madu, tetapi semua itu engkau gunakan sebagai persembahan untuk menyenangkan hati berhala. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
20. Lalu anak lelaki dan anak perempuan yang telah engkau lahirkan bagi-Ku, engkau persembahkan kepada berhala-berhala. Belum cukupkah engkau tidak setia kepada-Ku?
21. Mengapa engkau mesti merampas anak-anak-Ku dan mempersembahkan mereka sebagai korban kepada berhala?
22. Selama kehidupanmu sebagai pelacur yang menjijikkan itu, engkau tidak pernah teringat pada masa kecilmu, ketika engkau bogel dan menggeliat dalam darahmu sendiri.”
23. TUHAN Raja berfirman, “Alangkah malangnya engkau! Sungguh malang! Selain segala kejahatanmu itu,
24. engkau juga membina tempat untuk menyembah berhala dan melacur di tepi setiap jalan.
25. Engkau menodai kecantikanmu. Engkau menawarkan tubuhmu kepada sesiapa sahaja yang lalu di situ, dan engkau tidak henti-henti melacur.
26. Engkau melacur dengan tetanggamu orang Mesir yang bernafsu buas. Engkau melacur untuk membuat Aku murka.
27. Tetapi sekarang Aku bertindak untuk menghukum engkau dan mengambil berkat yang telah Kuberikan kepadamu. Aku telah menyerahkan engkau kepada orang Filistin yang membenci engkau serta jijik terhadap perbuatanmu yang cabul itu.
28. Kerana engkau tidak puas dengan yang lain, engkau mengejar orang Asyur. Engkau melacurkan diri, namun orang Asyur pun tidak dapat memuaskan nafsumu.
29. Engkau juga menjadi pelacur kepada orang Babilonia, kaum pedagang itu, tetapi mereka pun tidak dapat memuaskan nafsumu.”