6. Penglihatan mereka itu palsu dan ramalan mereka pun dusta belaka. Mereka mengaku menyampaikan firman-Ku, padahal Aku tidak mengutus mereka. Namun mereka berharap supaya ramalan mereka akan berlaku.
7. Aku berfirman kepada mereka: Penglihatan kamu itu palsu, dan ramalan kamu itu dusta belaka. Kamu berkata bahawa semua itu firman-Ku, padahal Aku tidak berfirman kepada kamu!”
8. Oleh itu TUHAN Raja berfirman kepada mereka, “Kerana kata-kata kamu itu dusta dan penglihatan kamu itu palsu, Aku akan melawan kamu.
9. Aku akan menghukum kamu, nabi-nabi yang melihat penglihatan palsu serta menyampaikan ramalan yang menyesatkan. Kamu tidak akan bersama-sama umat-Ku apabila mereka bersidang; nama kamu tidak akan tercatat dalam daftar warga Israel, dan kamu tidak akan pulang ke tanah air kamu. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN Raja.