Yehezkiel 12:7-18 Alkitab Berita Baik (BM)

7. Aku melakukan apa yang disuruh TUHAN. Pada hari itu aku mengemaskan barangku dalam satu bungkusan seperti yang dilakukan oleh seorang pelarian. Pada petang itu, waktu hampir gelap, dengan tangan aku memecahkan tembok rumahku sehingga berlubang, lalu aku keluar melalui lubang itu. Sedang orang memandang, aku memikul bungkusanku lalu meninggalkan tempat itu.

8. Keesokan paginya TUHAN berfirman kepadaku,

9. “Hai manusia fana, oleh sebab umat Israel, umat pemberontak itu bertanya kepadamu tentang hal yang sedang engkau lakukan,

10. beritahulah mereka apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka. Perkhabaran ini untuk raja yang memerintah di Yerusalem dan untuk semua orang yang tinggal di situ.

11. Beritahulah mereka bahawa perbuatanmu itu melambangkan hal yang akan berlaku kepada mereka. Mereka akan menjadi orang pelarian dan orang tawanan.

12. Raja mereka akan memikul bungkusannya pada waktu malam dan melarikan diri melalui lubang yang dibuat oleh mereka di tembok. Raja akan menutup mukanya sehingga tidak nampak ke mana dia pergi.

13. Tetapi Aku akan memasang jaring untuk menangkap raja. Lalu Aku akan membawa dia ke kota Babel, dan dia akan mati tanpa melihat kota itu.

14. Aku akan mencerai-beraikan semua orang di istananya, para penasihat, dan pengawal peribadinya. Aku akan memburu dan membunuh mereka.

15. Apabila Aku mencerai-beraikan mereka antara bangsa-bangsa lain di negeri-negeri asing, barulah mereka sedar bahawa Akulah TUHAN.

16. Aku akan membiarkan sebilangan kecil daripada mereka terselamat daripada peperangan, kelaparan, dan wabak supaya di kalangan bangsa-bangsa asing itu, mereka akan sedar betapa kejinya perbuatan mereka, lalu mengakui bahawa Akulah TUHAN.”

17. TUHAN berfirman kepadaku,

18. “Hai manusia fana, gementarlah apabila engkau makan, dan menggigillah dengan takut apabila engkau minum.

Yehezkiel 12