Yehezkiel 1:12-23 Alkitab Berita Baik (BM)

12. Setiap makhluk menghadap empat arah agar dapat menuju ke arah mana sahaja menurut kehendak makhluk-makhluk tanpa memusingkan badan.

13. Antara makhluk itu terdapat sesuatu yang berupa suluh yang bernyala. Suluh itu sentiasa bergerak. Apinya menyala dan memancarkan kilat.

14. Makhluk-makhluk itu terbang berulang-alik secepat kilat.

15. Sedang aku melihat empat makhluk itu, aku nampak pula empat buah roda di atas tanah, sebuah roda di samping setiap makhluk.

16. Keempat-empat roda itu sama rupanya dan berkilauan seperti batu permata, dan setiap roda mempunyai sebuah roda lain yang melintang di tengah-tengahnya.

17. Dengan demikian keempat-empat roda itu dapat bergerak ke empat arah.

18. Bingkai roda penuh dengan mata.

19. Apabila makhluk-makhluk itu bergerak, roda pun ikut bergerak. Jika makhluk-makhluk itu naik ke udara, roda pun ikut sama.

20. Makhluk-makhluk itu pergi ke mana sahaja menurut kehendak makhluk-makhluk, dan roda selalu ikut kerana dikuasai oleh makhluk-makhluk itu.

21. Oleh itu setiap kali makhluk-makhluk itu bergerak atau berhenti atau naik ke udara, roda pun ikut sama.

22. Di atas kepala makhluk-makhluk itu, ada sesuatu yang rupanya seperti kubah yang dibuat daripada kristal yang berkilau-kilauan.

23. Di bawah kubah itu makhluk-makhluk itu berdiri, sambil merentangkan dua sayap ke arah makhluk yang di sebelahnya, sedangkan dua sayap lagi menutupi badan.

Yehezkiel 1