Yehezkiel 1:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Pada hari kelima bulan keempat dalam tahun ketiga puluh, aku, Imam Yehezkiel anak Busi, berada di tepi Sungai Kebar di Babilonia bersama-sama orang buangan Yahudi. Ketika itu langit terbuka dan aku mendapat suatu penglihatan tentang Allah. (

2. Hal itu berlaku lima tahun selepas Raja Yoyakhin dibuang negeri.)

3. Di negeri Babilonia, di tepi Sungai Kebar, aku mendengar TUHAN berfirman kepadaku, dan aku merasa kuasa-Nya.

4. Aku menengadah dan melihat angin ribut datang dari utara. Kilat sambar-menyambar dari awan yang amat besar, dan langit di sekelilingnya terang-benderang. Ketika kilat itu sambar-menyambar, terlihat sesuatu yang bersinar-sinar seperti gangsa.

5. Di tengah-tengah angin ribut itu aku nampak juga empat kerub, iaitu makhluk yang menyerupai manusia,

6. tetapi setiap makhluk mempunyai empat muka dan empat sayap.

7. Kaki makhluk itu lurus, berkuku seperti kuku anak lembu dan bersinar-sinar seperti gangsa yang digilap.

Yehezkiel 1