Yehezkiel 1:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Pada hari kelima bulan keempat dalam tahun ketiga puluh, aku, Imam Yehezkiel anak Busi, berada di tepi Sungai Kebar di Babilonia bersama-sama orang buangan Yahudi. Ketika itu langit terbuka dan aku mendapat suatu penglihatan tentang Allah. (

2. Hal itu berlaku lima tahun selepas Raja Yoyakhin dibuang negeri.)

3. Di negeri Babilonia, di tepi Sungai Kebar, aku mendengar TUHAN berfirman kepadaku, dan aku merasa kuasa-Nya.

4. Aku menengadah dan melihat angin ribut datang dari utara. Kilat sambar-menyambar dari awan yang amat besar, dan langit di sekelilingnya terang-benderang. Ketika kilat itu sambar-menyambar, terlihat sesuatu yang bersinar-sinar seperti gangsa.

5. Di tengah-tengah angin ribut itu aku nampak juga empat kerub, iaitu makhluk yang menyerupai manusia,

6. tetapi setiap makhluk mempunyai empat muka dan empat sayap.

7. Kaki makhluk itu lurus, berkuku seperti kuku anak lembu dan bersinar-sinar seperti gangsa yang digilap.

8. Selain empat muka dan empat sayap itu, setiap makhluk mempunyai empat tangan yang seperti tangan manusia, satu tangan di bawah setiap sayap.

9. Dua sayap daripada setiap makhluk itu terkembang dan hujungnya bersentuhan dengan sayap makhluk yang lain sehingga keempat-empat makhluk itu membentuk segi empat. Apabila bergerak, makhluk-makhluk itu bergerak lurus ke hadapan tanpa memusingkan badan.

10. Setiap makhluk itu mempunyai empat muka yang berlainan: muka manusia di bahagian hadapan, muka singa di sebelah kanan, muka lembu di sebelah kiri, dan muka helang di bahagian belakang.

11. Dua sayap daripada setiap makhluk itu terbentang tinggi sehingga menyentuh hujung sayap makhluk yang di sebelahnya. Dua sayap lain terlipat menutupi badan setiap makhluk.

12. Setiap makhluk menghadap empat arah agar dapat menuju ke arah mana sahaja menurut kehendak makhluk-makhluk tanpa memusingkan badan.

Yehezkiel 1