5. Ketahuilah, saudara-saudara yang aku kasihi! Allah sudah memilih orang miskin di dunia ini menjadi orang yang kaya dalam iman. Mereka akan menikmati Pemerintahan Allah seperti yang sudah dijanjikan-Nya kepada mereka yang mengasihi Dia.
6. Tetapi kamu menghina orang miskin, padahal orang kayalah yang menindas kamu dan yang menyeret kamu ke hadapan hakim.
7. Merekalah yang menghina nama yang terhormat, yang kamu terima daripada Tuhan.
8. Kamu melakukan apa yang benar jika kamu mengamalkan hukum Pemerintahan Allah yang tertulis di dalam Alkitab, “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.”
9. Tetapi jika kamu memperlakukan orang berdasarkan hal-hal yang lahir, kamu berdosa, dan menurut Taurat, kamu telah melanggar hukum.
10. Sesiapa yang melanggar salah satu perintah Taurat, melanggar seluruh Taurat.
11. Hal ini demikian, kerana Allah yang berfirman, “Janganlah berzina,” juga berfirman, “Janganlah membunuh.” Oleh itu, meskipun kamu tidak berzina, tetapi jika kamu membunuh, kamu telah melanggar hukum.
12. Bercakaplah dan bertindaklah sebagai orang yang akan diadili oleh Allah menurut hukum yang membebaskan manusia.
13. Hal itu demikian kerana pada masa Allah menghakimi manusia, Dia tidak akan mengasihani orang yang tidak berbelas kasihan. Tetapi orang yang berbelas kasihan tidak akan dihukum oleh Allah.
14. Saudara-saudaraku! Tidak ada gunanya seorang Kristian berkata, “Saya beriman,” jika perbuatannya tidak membuktikan imannya. Iman semacam itu tidak dapat menyelamatkan dia.
15. Andaikan seorang saudara lelaki atau saudara perempuan memerlukan pakaian dan tidak mempunyai cukup makanan.
16. Tidak ada gunanya kamu berkata kepadanya, “Allah memberkati kamu! Pakailah baju panas dan makanlah dengan secukupnya!” - jika kamu tidak memberikan keperluan sehari-hari kepadanya.
17. Demikian jugalah dengan iman. Jika iman tidak dinyatakan dengan perbuatan, iman itu sia-sia!
18. Mungkin ada yang berkata, “Ada orang yang mempunyai iman, dan ada pula yang mengamalkan perbuatan baik.” Aku akan menjawab, “Tunjukkanlah seorang yang mempunyai iman tetapi tidak mengamalkan perbuatan baik, lalu dengan perbuatanku yang baik, aku akan menunjukkan bahawa aku beriman.”