3. Dengan hormat kamu menyambut orang kaya itu dan berkata kepadanya, “Silakan duduk di tempat yang terbaik ini.” Tetapi kamu berkata kepada orang miskin itu, “Berdirilah di sana, atau duduk di lantai dekat kakiku.”
4. Dengan perbuatan itu, kamu membeza-bezakan orang di kalangan kamu dan kamu menilai orang berdasarkan fikiran yang jahat.
5. Ketahuilah, saudara-saudara yang aku kasihi! Allah sudah memilih orang miskin di dunia ini menjadi orang yang kaya dalam iman. Mereka akan menikmati Pemerintahan Allah seperti yang sudah dijanjikan-Nya kepada mereka yang mengasihi Dia.
6. Tetapi kamu menghina orang miskin, padahal orang kayalah yang menindas kamu dan yang menyeret kamu ke hadapan hakim.
7. Merekalah yang menghina nama yang terhormat, yang kamu terima daripada Tuhan.
8. Kamu melakukan apa yang benar jika kamu mengamalkan hukum Pemerintahan Allah yang tertulis di dalam Alkitab, “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.”
9. Tetapi jika kamu memperlakukan orang berdasarkan hal-hal yang lahir, kamu berdosa, dan menurut Taurat, kamu telah melanggar hukum.
10. Sesiapa yang melanggar salah satu perintah Taurat, melanggar seluruh Taurat.
11. Hal ini demikian, kerana Allah yang berfirman, “Janganlah berzina,” juga berfirman, “Janganlah membunuh.” Oleh itu, meskipun kamu tidak berzina, tetapi jika kamu membunuh, kamu telah melanggar hukum.
12. Bercakaplah dan bertindaklah sebagai orang yang akan diadili oleh Allah menurut hukum yang membebaskan manusia.
13. Hal itu demikian kerana pada masa Allah menghakimi manusia, Dia tidak akan mengasihani orang yang tidak berbelas kasihan. Tetapi orang yang berbelas kasihan tidak akan dihukum oleh Allah.
14. Saudara-saudaraku! Tidak ada gunanya seorang Kristian berkata, “Saya beriman,” jika perbuatannya tidak membuktikan imannya. Iman semacam itu tidak dapat menyelamatkan dia.