Wahyu 21:7-21 Alkitab Berita Baik (BM)

7. Sesiapa yang menang akan menerima hak ini daripada-Ku: Aku akan menjadi Allahnya, dan dia akan menjadi anak-Ku.

8. Tetapi pengecut, pengkhianat, orang yang melakukan perbuatan cabul, pembunuh, orang yang lucah, orang yang mengamalkan ilmu ghaib, penyembah berhala, dan semua pendusta, akan dibuang ke dalam lautan api dan belerang yang bernyala-nyala, iaitu kematian tahap kedua.”

9. Satu daripada tujuh malaikat yang mempunyai tujuh buah mangkuk yang penuh dengan tujuh bencana terakhir itu datang kepadaku dan berkata, “Marilah, aku akan menunjukkan Pengantin Perempuan kepadamu, iaitu isteri Anak Domba.”

10. Roh Allah menguasai aku, dan malaikat itu membawa aku ke puncak gunung yang sangat tinggi. Dia menunjukkan Yerusalem kepadaku, kota suci itu yang turun dari syurga daripada Allah,

11. dengan semarak kemuliaan Allah. Kota itu berkilauan seperti batu permata, seperti batu jasper yang hening seperti kristal.

12. Kota itu bertembok tinggi besar, dengan dua belas buah pintu gerbang, dan dijaga oleh dua belas malaikat. Pada pintu-pintu gerbang itu tertulis nama dua belas suku Israel.

13. Pada setiap sisi terdapat tiga buah pintu gerbang: tiga di sebelah timur, tiga di sebelah selatan, tiga di sebelah utara, dan tiga di sebelah barat.

14. Tembok kota itu dibina di atas dua belas buah batu asas. Pada setiap batu asas tertulis nama dua belas orang rasul Anak Domba itu.

15. Malaikat yang berkata-kata kepadaku mempunyai sebatang pengukur daripada emas, untuk mengukur kota itu, pintu-pintu gerbangnya, dan temboknya.

16. Kota itu berbentuk empat persegi, panjang dan lebarnya sama. Malaikat itu mengukur kota itu dengan tongkat pengukurnya: panjangnya 2,400 kilometer; lebar dan tingginya sama dengan panjangnya.

17. Malaikat itu juga mengukur tembok kota: tingginya enam puluh meter menurut ukuran yang biasa diguna oleh manusia.

18. Tembok kota itu dibuat daripada batu jasper, sedangkan kota itu sendiri dibuat daripada emas tulen, hening seperti kaca.

19. Batu-batu asas tembok kota itu dihiasi berbagai-bagai batu permata. Batu asas yang pertama batu jasper, yang kedua batu nilam, yang ketiga batu akik, yang keempat batu zamrud,

20. yang kelima batu oniks, yang keenam batu sardis, yang ketujuh batu kuarza kuning, yang kelapan batu beril, yang kesembilan batu topaz, yang kesepuluh batu kalsedoni, yang kesebelas batu firus, dan yang kedua belas batu kecubung.

21. Dua belas buah pintu gerbang itu dua belas mutiara: tiap-tiap pintu gerbang dibuat daripada satu mutiara. Jalan raya kota itu dibuat daripada emas tulen, hening seperti kaca.

Wahyu 21