Wahyu 18:10-20 Alkitab Berita Baik (BM)

10. Mereka berdiri dari jauh, kerana mereka takut terkena penderitaannya. Mereka berkata, “Alangkah malangnya kota Babel yang agung dan perkasa itu! Dalam satu jam sahaja Babel telah dihukum!”

11. Para saudagar di bumi menangis dan berkabung kerananya, oleh sebab tidak seorang pun membeli barang dagangan mereka lagi.

12. Tidak seorang pun membeli emas, perak, permata, ataupun mutiara mereka; tidak seorang pun membeli kain linen, kain ungu, kain sutera, dan kain merah tua; tidak seorang pun membeli segala macam kayu yang jarang didapati, pelbagai benda yang dibuat daripada gading, kayu yang mahal, gangsa, besi, dan marmar;

13. tidak seorang pun membeli kayu manis, rempah-rempah, setanggi, mur, dan kemenyan; tidak seorang pun membeli wain dan minyak, tepung dan gandum, lembu dan domba, kuda dan pedati, abdi dan tawanan perang sekalipun.

14. Para saudagar berkata kepadanya, “Segala yang ingin engkau miliki sudah lenyap, dan semua kekayaan serta keindahanmu sudah hilang. Engkau tidak akan mendapati semua itu lagi!”

15. Para saudagar yang menjadi kaya kerana berniaga di kota itu akan berdiri dari jauh, kerana mereka takut terkena penderitaannya. Mereka akan menangis dan berkabung,

16. serta berkata, “Alangkah malangnya kota yang agung itu! Biasanya Babel berpakaian kain linen, kain ungu, dan kain merah tua; biasanya Babel memakai perhiasan emas, permata, dan mutiara!

17. Tetapi dalam satu jam sahaja, Babel telah kehilangan segala kekayaannya!”Semua nakhoda, penumpang, dan anak kapal, serta semua orang yang mempunyai mata pencarian di laut, berdiri dari jauh.

18. Mereka berteriak apabila melihat asap api yang membakar kota itu. Mereka berseru, “Belum pernah ada kota seperti kota yang agung ini!”

19. Mereka menghamburkan abu ke atas kepala sebagai tanda berkabung. Lalu mereka menangis dan berseru, “Alangkah malangnya kota yang agung itu! Di situlah semua orang yang mempunyai kapal-kapal di laut menjadi kaya kerana kekayaan kota itu! Tetapi dalam satu jam sahaja, Babel telah kehilangan segala-galanya!”

20. Bersukacitalah, hai syurga, kerana kemusnahan kota itu! Bersukacitalah, hai umat Allah, rasul-rasul, dan nabi-nabi, kerana Allah telah menghukum Babel bagi apa yang sudah dilakukannya terhadap kamu!

Wahyu 18