Wahyu 16:5-15 Alkitab Berita Baik (BM)

5. Aku mendengar malaikat yang berkuasa atas air berkata, “Hukuman yang Engkau jatuhkan itu adil, ya Yang Maha Suci, Allah yang ada dan yang sudah ada!

6. Mereka telah menumpahkan darah umat Allah dan darah para nabi. Sekarang Engkau memberi mereka minum darah. Hukuman itu setimpal dengan perbuatan mereka!”

7. Kemudian aku mendengar suara dari mazbah berkata, “Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa! Hukuman-Mu itu benar dan adil!”

8. Kemudian malaikat keempat menuang isi mangkuknya ke atas matahari, lalu matahari dibenarkan menghanguskan manusia dengan panasnya yang terik.

9. Manusia dihanguskan oleh panas yang terik itu dan mereka mengutuki Allah, yang berkuasa atas semua malapetaka tersebut. Tetapi mereka tidak mahu bertaubat daripada dosa dan tidak mahu memuji keagungan Allah.

10. Kemudian malaikat kelima menuang isi mangkuknya ke takhta binatang itu. Lalu seluruh kerajaan binatang itu menjadi gelap dan manusia menggigit lidah kerana kesakitan.

11. Mereka mengutuki Allah di syurga kerana kesakitan dan kudis mereka. Tetapi mereka tidak bertaubat daripada perbuatan jahat mereka.

12. Kemudian malaikat keenam menuang isi mangkuknya ke dalam Sungai Efrat yang besar. Sungai itu menjadi kering sehingga raja-raja dari timur dapat melaluinya.

13. Kemudian aku melihat tiga roh jahat yang kelihatan seperti katak. Roh-roh itu keluar dari mulut naga, dari mulut binatang itu, dan dari mulut nabi palsu.

14. Roh-roh itu roh jahat yang melakukan mukjizat-mukjizat. Ketiga-tiga roh itu pergi kepada semua raja di seluruh dunia, dan mengumpulkan mereka untuk berperang pada hari Allah Yang Maha Kuasa menjatuhkan hukuman.

15. “Dengarlah! Aku datang seperti pencuri! Berbahagialah orang yang berjaga-jaga dan siap berpakaian, sehingga mereka tidak berjalan dalam keadaan telanjang dan dipermalukan di hadapan umum!”

Wahyu 16