Wahyu 11:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Kemudian aku diberikan sebatang tongkat yang kelihatannya seperti kayu pengukur. Lalu aku diperintahkan, “Pergilah ukur Rumah Allah dan mazbah. Kiralah orang yang beribadat di Rumah Allah.

2. Tetapi janganlah ukur halaman yang di sebelah luar, kerana bahagian itu sudah diserahkan kepada orang yang tidak mengenal Allah. Mereka akan menginjak-injak kota suci itu selama empat puluh dua bulan.

3. Aku akan mengutus dua orang saksi-Ku yang mengenakan pakaian berkabung. Mereka akan mengisytiharkan perkhabaran Allah selama 1,260 hari.”

4. Kedua-dua orang saksi itu adalah dua batang pokok zaitun dan dua buah kaki pelita yang berdiri di hadapan Tuhan alam semesta.

5. Jika sesiapa cuba mencederakan mereka, api keluar dari mulut mereka dan membinasakan musuh. Dengan demikian sesiapa sahaja yang cuba mencederakan mereka akan terbunuh.

6. Mereka mempunyai kuasa untuk menutup langit supaya hujan tidak turun selama mereka mengisytiharkan perkhabaran Allah. Mereka juga berkuasa atas mata air untuk mengubah air menjadi darah; mereka juga berkuasa menimpakan segala macam malapetaka ke atas bumi, bila-bila masa mereka menghendakinya.

7. Apabila mereka selesai mengisytiharkan perkhabaran, binatang yang keluar dari jurang maut akan melawan mereka, lalu mengalahkan dan membunuh mereka.

Wahyu 11