5. dan daripada Yesus Kristus, saksi yang setia. Dialah yang pertama sekali dibangkitkan daripada kematian dan Dialah pemerintah raja-raja dunia.Yesus mengasihi kita, dan dengan kematian-Nya Dia membebaskan kita daripada dosa-dosa kita.
6. Kristus menjadikan kita imam yang memerintah bersama-sama Dia dan yang mengabdikan diri kepada Allah, Bapa-Nya. Marilah kita muliakan keagungan dan kekuasaan Yesus Kristus yang kekal itu. Amin!
7. Lihatlah, Dia datang dengan awan! Semua orang akan melihat Dia, termasuk juga mereka yang sudah membunuh Dia. Semua bangsa di bumi akan meratap kerana Dia. Ya, tentu! Amin!
8. “Akulah yang pertama dan yang terakhir,” firman Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa, yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang.
9. Aku Yohanes, saudara kamu, juga mengalami penderitaan yang dialami oleh setiap pengikut Yesus. Kita menantikan Pemerintahan-Nya dan harus menanggung penderitaan dengan tabah hati. Aku dibuang ke pulau Patmos kerana mengisytiharkan firman Allah dan hal-hal yang dinyatakan oleh Yesus.
10. Pada hari Tuhan, Roh Allah menguasai aku, lalu aku mendengar suara yang kuat dan jelas, seperti bunyi trompet, berkata-kata di belakangku.
11. Suara itu berkata, “Tuliskanlah apa yang engkau lihat dan kirimlah kitab ini kepada jemaah di tujuh buah kota berikut: Efesus, Smirna, Pergamus, Tiatira, Sardis, Filadelfia, dan Laodikia.”
12. Aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang berkata-kata kepadaku. Lalu aku nampak tujuh buah kaki pelita daripada emas.
13. Di tengah-tengah kaki pelita itu ada sesusuk tubuh yang kelihatan seperti manusia. Dia memakai jubah yang panjangnya sampai ke kaki dan dada-Nya dililiti seutas pengikat daripada emas.