4. Selama empat puluh tahun itu, pakaian kamu tidak menjadi usang, dan kaki kamu tidak menjadi bengkak.
5. Ingatlah, TUHAN, Allah kamu menegur ajar kamu sama seperti seorang bapa menegur ajar anak-anaknya.
6. Oleh itu, patuhilah perintah TUHAN; hiduplah menurut hukum-Nya dan taatilah Dia.
7. TUHAN, Allah kamu sedang membawa kamu ke tanah yang subur, tanah yang mempunyai sungai dan mata air, serta sungai kecil di bawah tanah yang memancur ke lembah-lembah dan bukit-bukit;
8. tanah yang menghasilkan gandum dan barli, buah anggur, buah ara, buah delima, buah zaitun, dan madu.
9. Di sana kamu tidak akan kelaparan atau kekurangan apa-apa. Batu di tanah itu mengandungi besi dan kamu dapat melombong tembaga di bukit-bukit.
10. Kamu akan mendapat semua yang kamu ingin makan, dan kamu akan bersyukur kepada TUHAN, Allah kamu untuk tanah subur yang diberikan-Nya kepada kamu.”
11. “Pastikanlah supaya kamu tidak lupa akan TUHAN, Allah kamu. Jangan gagal mentaati satu hukum pun yang aku berikan kepada kamu hari ini.
12. Apabila kamu sudah mendapat segala yang kamu ingin makan, dan telah membina rumah-rumah baik sebagai tempat tinggal kamu;
13. apabila lembu dan domba, emas dan perak, serta segala harta kamu yang lain sudah bertambah banyak,
14. pastikanlah supaya kamu tidak menjadi sombong, dan tidak lupa akan TUHAN, Allah kamu yang telah membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu diperhamba dahulu.
15. Dia telah memimpin kamu melalui padang gurun yang luas dan menakutkan itu, tempat yang dihuni ular berbisa dan kala jengking. Di tanah yang kering dan tidak berair itu, Dia memancarkan air dari bukit batu untuk kamu.
16. Di padang gurun Dia memberi kamu manna, sejenis makanan yang tidak pernah dimakan oleh nenek moyang kamu. Dia mendatangkan kesukaran untuk menguji kamu, supaya pada akhirnya Dia dapat berbuat baik kepada kamu.
17. Oleh itu, jangan sekali-kali berfikir bahawa kamu menjadi kaya kerana kuasa dan kekuatan kamu sendiri.
18. Ingatlah, bahawa TUHAN, Allah kamu itulah yang menjadikan kamu kaya. Dia melakukan hal itu kerana sampai hari ini, Dia masih setia kepada perjanjian yang dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu.