Ulangan 8:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

1. “Patuhilah dengan setia semua hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini, supaya kamu tetap hidup dan bilangan kamu bertambah, dan dapat menduduki tanah yang dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu.

2. Ingatlah bagaimana TUHAN, Allah kamu memimpin kamu dalam perjalanan jauh di padang gurun selama empat puluh tahun yang lampau; Dia mendatangkan kesukaran untuk menguji kamu supaya Dia dapat mengetahui isi hati kamu, dan mengetahui sama ada kamu akan taat kepada perintah-Nya atau tidak.

3. Dia membiarkan kamu kelaparan lalu memberi kamu manna, iaitu sejenis makanan yang belum pernah dimakan oleh kamu atau nenek moyang kamu. Dia berbuat demikian untuk mengajar kamu bahawa manusia tidak hidup dengan roti sahaja, melainkan dengan tiap-tiap firman TUHAN.

4. Selama empat puluh tahun itu, pakaian kamu tidak menjadi usang, dan kaki kamu tidak menjadi bengkak.

5. Ingatlah, TUHAN, Allah kamu menegur ajar kamu sama seperti seorang bapa menegur ajar anak-anaknya.

6. Oleh itu, patuhilah perintah TUHAN; hiduplah menurut hukum-Nya dan taatilah Dia.

7. TUHAN, Allah kamu sedang membawa kamu ke tanah yang subur, tanah yang mempunyai sungai dan mata air, serta sungai kecil di bawah tanah yang memancur ke lembah-lembah dan bukit-bukit;

8. tanah yang menghasilkan gandum dan barli, buah anggur, buah ara, buah delima, buah zaitun, dan madu.

9. Di sana kamu tidak akan kelaparan atau kekurangan apa-apa. Batu di tanah itu mengandungi besi dan kamu dapat melombong tembaga di bukit-bukit.

10. Kamu akan mendapat semua yang kamu ingin makan, dan kamu akan bersyukur kepada TUHAN, Allah kamu untuk tanah subur yang diberikan-Nya kepada kamu.”

11. “Pastikanlah supaya kamu tidak lupa akan TUHAN, Allah kamu. Jangan gagal mentaati satu hukum pun yang aku berikan kepada kamu hari ini.

12. Apabila kamu sudah mendapat segala yang kamu ingin makan, dan telah membina rumah-rumah baik sebagai tempat tinggal kamu;

13. apabila lembu dan domba, emas dan perak, serta segala harta kamu yang lain sudah bertambah banyak,

Ulangan 8