7. Ajarkanlah hukum itu kepada anak-anak kamu. Percakapkanlah hukum itu semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja.
8. Ikatkan hukum itu pada lengan kamu dan ikatkannya pada dahi kamu sebagai peringatan.
9. Tuliskanlah hukum itu pada tiang pintu rumah dan pada pintu pagar kamu.”
10. “TUHAN, Allah kamu telah berjanji kepada nenek moyang kamu, Abraham, Ishak, dan Yakub bahawa Dia akan memberi kamu tanah yang mempunyai kota-kota besar dan makmur, yang tidak kamu bina.
11. Rumah-rumah di situ penuh dengan barang-barang baik, yang tidak kamu simpan. Terdapat juga perigi-perigi yang tidak kamu gali, serta ladang anggur dan kebun zaitun, yang tidak kamu tanam. Apabila TUHAN membawa kamu ke tanah itu dan kamu mempunyai segala sesuatu yang kamu ingin makan,
12. berhati-hatilah supaya kamu tidak lupa akan TUHAN yang sudah membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu diperhamba dahulu.
13. Hormatilah TUHAN, Allah kamu dan sembahlah Dia sahaja, dan buatlah janji kamu demi nama-Nya sahaja.
14. Jangan sembah tuhan-tuhan lain, atau tuhan mana pun yang disembah oleh bangsa-bangsa yang tinggal di sekitar kamu.
15. Jika kamu menyembah tuhan-tuhan lain, kemurkaan TUHAN akan menimpa kamu. Kemurkaan-Nya itu seperti api, dan kamu akan dibinasakan sama sekali, kerana TUHAN, Allah kamu yang hadir di tengah-tengah kamu, tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun.
16. Jangan cubai TUHAN, Allah kamu seperti yang kamu lakukan di Masa.
17. Pastikanlah agar kamu mentaati segala hukum yang sudah diberikan-Nya kepada kamu.
18. Lakukanlah apa yang baik dan adil di sisi TUHAN, maka kamu akan sejahtera. Kamu akan memiliki tanah yang subur, yang sudah dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu,
19. dan kamu akan mengusir musuh seperti yang dijanjikan-Nya.
20. Pada masa yang akan datang, anak-anak kamu akan bertanya, ‘Mengapakah TUHAN, Allah kita memerintah kita untuk mentaati semua hukum itu?’
21. Maka beritahulah mereka, ‘Dahulu kita hamba raja Mesir, tetapi TUHAN membebaskan kita dengan kuasa-Nya yang besar.