Ulangan 4:33-48 Alkitab Berita Baik (BM)

33. Pernahkah ada bangsa yang tetap hidup setelah mendengar suatu tuhan bersabda dari dalam api sebagaimana yang kamu alami?

34. Pernahkah ada suatu tuhan yang berani mengambil suatu umat daripada bangsa lain lalu menjadikan umat itu umatnya sendiri, seperti yang dilakukan oleh TUHAN, Allah kamu bagi kamu di Mesir? Di depan mata kamu sendiri Dia telah menggunakan kuasa dan kekuatan-Nya yang besar; Dia mendatangkan wabak dan peperangan, melakukan mukjizat dan keajaiban, serta menyebabkan perkara-perkara dahsyat berlaku.

35. TUHAN telah melakukan semua perkara itu supaya kamu tahu bahawa Dia satu-satunya Allah, dan tidak ada yang lain.

36. Dia membenarkan kamu mendengar suara-Nya dari langit supaya Dia dapat mengajar kamu; di bumi ini Dia membenarkan kamu melihat api-Nya yang suci, dan dari api itu Dia berfirman kepada kamu.

37. Oleh sebab Dia mengasihi nenek moyang kamu, Dia memilih kamu; dengan kuasa-Nya yang besar, Dia sendiri membawa kamu keluar dari Mesir.

38. Dia mengusir bangsa-bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu, supaya Dia boleh membawa kamu ke tanah mereka, dan memberikan tanah itu kepada kamu. Hingga sekarang tanah itu masih menjadi milik kamu.

39. Oleh itu ingatlah hari ini dan jangan lupa bahawa TUHAN satu-satunya Allah di langit dan di bumi; tidak ada yang lain.

40. Patuhilah semua hukum-Nya yang sudah aku berikan kepada kamu hari ini, maka kamu dan keturunan kamu akan sejahtera. Kamu akan tetap tinggal di tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu untuk menjadi milik kamu selama-lamanya.”

41. Kemudian Musa memilih tiga buah kota di sebelah timur Sungai Yordan.

42. Kota-kota itu menjadi tempat seseorang menyelamatkan diri, jika dengan tidak sengaja dia membunuh seorang yang bukan musuhnya. Orang yang telah membunuh itu boleh lari ke salah satu kota itu dan dia tidak akan dibunuh.

43. Kota Bezer di dataran tinggi padang gurun diberikan sebagai kota perlindungan bagi suku Ruben. Kota Ramot di daerah Gilead diberikan sebagai kota perlindungan bagi suku Gad. Kota Golan di daerah Basan diberikan sebagai kota perlindungan bagi suku Manasye.

44. Musa memberikan hukum dan ajaran Allah kepada umat Israel.

45-46. Musa memberi mereka hukum itu selepas mereka keluar dari Mesir, dan berada di sebelah timur Sungai Yordan, di lembah di seberang kota Bet-Peor. Daerah ini termasuk wilayah yang dahulu dimiliki Raja Sihon, raja orang Amori, yang pernah memerintah di kota Hesybon. Musa dan umat Israel mengalahkan raja itu apabila mereka keluar dari Mesir.

47. Mereka menduduki tanah Raja Sihon, dan juga tanah Raja Og di Basan, seorang raja Amori lain yang tinggal di sebelah timur Sungai Yordan.

48. Tanah yang diduduki mereka itu terbentang luas sampai ke kota Aroer di tepi Sungai Arnon, dan terus ke utara sampai ke Gunung Siryon, iaitu Gunung Hermon;

Ulangan 4