19. Sekarang tuliskanlah nyanyian ini dan ajarkan kepada umat Israel. Nyanyian ini akan menjadi saksi terhadap mereka.
20. Aku akan membawa mereka ke tanah yang kaya dan subur itu seperti yang sudah Aku janjikan kepada nenek moyang mereka. Di situ mereka akan mendapat segala makanan yang diperlukan dan mereka akan hidup senang. Tetapi mereka akan berpaling daripada-Ku lalu menyembah tuhan-tuhan lain. Mereka akan menolak Aku dan memungkiri perjanjian-Ku.
21. Banyak bencana yang dahsyat akan menimpa mereka, tetapi nyanyian ini akan tetap dinyanyikan dan menjadi saksi terhadap mereka. Bahkan sekarang pun, sebelum Aku membawa mereka ke tanah yang Aku janjikan, Aku sudah tahu fikiran mereka.”
22. Pada hari itu juga Musa menuliskan nyanyian itu dan mengajarkannya kepada umat Israel.
23. Kemudian TUHAN berfirman kepada Yosua anak Nun, “Engkau harus yakin dan berani. Engkau akan memimpin umat Israel ke tanah yang sudah Aku janjikan kepada mereka, dan Aku akan menyertai engkau.”
24. Musa menuliskan Taurat Allah di dalam sebuah kitab. Dia menuliskannya dengan teliti dari permulaan sampai akhir.
25. Setelah dia selesai menuliskannya, dia berkata kepada imam-imam Lewi yang mengurus Tabut Perjanjian TUHAN,
26. “Ambillah kitab Taurat Allah ini dan letakkannya di sebelah Tabut Perjanjian TUHAN, Allah kamu, supaya tetap ada di sana untuk menjadi saksi terhadap umat TUHAN.
27. Aku tahu betapa degilnya umat ini. Mereka sentiasa memberontak. Mereka telah memberontak terhadap TUHAN pada masa hidupku, dan tentu mereka akan semakin memberontak setelah aku meninggal.
28. Sekarang suruhlah semua pemimpin suku dan pegawai untuk berkumpul di hadapanku, supaya aku dapat memberitahu mereka perkara-perkara ini. Aku akan memanggil langit dan bumi menjadi saksiku terhadap mereka.
29. Aku tahu bahawa setelah aku meninggal, mereka akan menjadi jahat lalu menolak apa yang sudah aku ajarkan. Pada masa yang akan datang mereka akan ditimpa bencana, kerana mereka menyebabkan TUHAN murka dengan melakukan apa yang dilarang-Nya.”