Ulangan 3:20-29 Alkitab Berita Baik (BM)

20. Tolonglah sesama kamu umat Israel sehingga mereka menduduki tanah yang diberikan TUHAN kepada mereka di sebelah barat Sungai Yordan, dan sehingga TUHAN mengizinkan mereka tinggal di sana dengan tenteram, sebagaimana yang sudah dilakukan-Nya untuk kamu. Selepas itu barulah kamu boleh pulang ke tanah yang sudah aku berikan kepada kamu.’

21. Kemudian aku berkata kepada Yosua, ‘Engkau sudah nampak segala yang dilakukan TUHAN, Allahmu terhadap Raja Sihon dan Raja Og, dua orang raja itu; Dia akan melakukan hal yang sama kepada setiap raja yang negerinya engkau serang.

22. Jangan takut kepada mereka, kerana TUHAN, Allahmu akan berperang untukmu.’ ”

23. “Pada masa itu aku berdoa dengan sungguh-sungguh,

24. ‘Ya TUHAN Raja, aku tahu bahawa apa yang sudah Engkau tunjukkan kepadaku hanya permulaan perkara besar dan ajaib yang akan Engkau lakukan. Tiada tuhan lain di langit ataupun di bumi yang dapat melakukan perkara ajaib yang telah Engkau lakukan.

25. Ya TUHAN, benarkanlah aku menyeberangi Sungai Yordan dan melihat tanah yang subur di seberang, kawasan perbukitan yang indah dan Pergunungan Lebanon.’

26. Tetapi kamu sudah menyebabkan TUHAN murka terhadap aku sehingga Dia tidak mahu mengabulkan permintaanku. Sebaliknya Dia berfirman, ‘Sudahlah! Jangan sebut perkara itu lagi!

27. Pergilah ke puncak Gunung Pisga dan pandanglah ke arah utara dan selatan, ke arah timur dan barat. Perhatikanlah baik-baik apa yang engkau nampak, kerana engkau tidak akan pergi ke seberang Sungai Yordan.

28. Berikanlah petunjuk-petunjuk kepada Yosua. Kuatkanlah hatinya, kerana dialah yang akan memimpin umat ke seberang sungai untuk menduduki tanah yang engkau nampak itu.’

29. Oleh itu kita tinggal di lembah, di seberang kota Bet-Peor.”

Ulangan 3