Ulangan 3:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

1. “Kemudian kita menuju ke utara, ke arah daerah Basan. Raja Og dari Basan datang dengan seluruh tenteranya untuk menyerang kita dekat kota Edrei.

2. Tetapi TUHAN berfirman kepadaku, ‘Jangan takut akan dia. Aku akan menyerahkan dia, tenteranya, dan seluruh wilayahnya kepadamu. Perlakukanlah dia sebagaimana engkau sudah memperlakukan Sihon, raja orang Amori, yang memerintah di Hesybon.’

3. Oleh itu TUHAN menyerahkan Raja Og dan rakyatnya kepada kita, dan kita membunuh mereka semua.

4. Pada masa itu juga, kita menaklukkan semua kota Raja Og, sebanyak enam puluh buah kota, iaitu seluruh daerah Argob, yang diperintah oleh Raja Og dari Basan. Tiada satu kota pun yang tidak kita rebut.

5. Semua kota itu diperkuat dengan tembok yang tinggi, pintu gerbang, dan palang untuk mengunci pintu gerbang. Selain itu, ada juga banyak pekan yang tidak mempunyai tembok.

6. Kita memusnahkan semua kota itu dan membunuh semua orang lelaki, perempuan, dan kanak-kanak, seperti yang kita lakukan di kota-kota milik Raja Sihon dari Hesybon.

7. Kita mengambil ternakan dan menjarah kota-kota mereka.

8. Pada masa itu, daerah di sebelah timur Sungai Yordan, dari Sungai Arnon sampai ke Gunung Hermon, telah kita rebut daripada dua orang raja Amori itu. (

9. Gunung Hermon disebut Siryon oleh orang dari kota Sidon, dan disebut Senir oleh orang Amori.)

10. Kita merebut seluruh wilayah Raja Og dari Basan: kota-kota di dataran tinggi, daerah Gilead dan Basan, sampai ke kota Salka dan Edrei di sebelah timur.”(

11. Raja Og ialah orang terakhir daripada bangsa Refaim. Peti jenazahnya dibuat daripada batu, berukuran kira-kira dua meter lebar dan kira-kira empat meter panjang menurut ukuran rasmi. Sampai sekarang peti jenazah itu masih dapat dilihat di Raba, kota orang Amon.)

Ulangan 3