4. Tetapi sampai hari ini Dia masih belum membolehkan kamu memahami semua yang sudah kamu alami.
5. Selama empat puluh tahun ketika TUHAN memimpin kamu melalui padang gurun, pakaian dan kasut kamu tidak usang.
6. Kamu tidak mempunyai roti untuk makanan, wain atau minuman keras untuk minuman, tetapi TUHAN menyediakan segala keperluan kamu supaya kamu tahu bahawa Dialah Allah kamu.
7. Apabila kita sampai ke tempat ini, Raja Sihon dari Hesybon dan Raja Og dari Basan datang menyerang kita, tetapi kita mengalahkan mereka
8. dan merebut tanah mereka. Kemudian kita memberikan tanah mereka kepada suku Ruben, Gad, dan separuh suku Manasye.
9. Patuhilah dengan setia semua syarat perjanjian ini supaya kamu berjaya dalam segala usaha kamu.
10. Pada hari ini kamu semua berdiri di hadapan TUHAN, Allah kamu: semua pemimpin, pegawai, kaum lelaki,
11. kaum wanita, kanak-kanak, dan orang asing yang tinggal bersama dengan kamu, yang memotong kayu serta mengambil air untuk kamu.
12. Kamu berada di sini pada hari ini untuk mengikat perjanjian yang dibuat oleh TUHAN, Allah kamu dengan kamu, dan untuk menerima kewajipan-kewajipannya.
13. Dengan perjanjian itu, TUHAN mengesahkan kamu menjadi umat-Nya, dan Dia menjadi Allah kamu, seperti yang dijanjikan-Nya kepada kamu dan kepada nenek moyang kamu, Abraham, Ishak, dan Yakub.
14. TUHAN membuat perjanjian ini dengan segala tuntutannya, bukan dengan kami sahaja
15. melainkan dengan kita semua yang berdiri di sini pada hari ini, di hadapan TUHAN, Allah kita, dan juga dengan keturunan kita pada masa hadapan.”
16. “Kamu masih ingat akan kehidupan kamu di Mesir, dan keadaannya semasa kamu melalui negeri-negeri bangsa lain.
17. Kamu nampak patung-patung berhala mereka yang menjijikkan, yang dibuat daripada kayu, batu, perak, dan emas.
18. Oleh itu, jagalah supaya tidak seorang pun di sini pada hari ini, sama ada lelaki, perempuan, keluarga, ataupun suku yang berpaling daripada TUHAN, Allah kita, lalu menyembah tuhan-tuhan bangsa lain. Perbuatan itu bagaikan akar yang tumbuh menjadi tanaman pahit dan beracun.