Ulangan 28:44-64 Alkitab Berita Baik (BM)

44. Mereka akan mempunyai wang untuk dipinjamkan kepada kamu, sedangkan kamu tidak mempunyai apa-apa untuk dipinjamkan kepada mereka. Akhirnya, mereka akan memerintah kamu.

45. Segala malapetaka itu akan menimpa kamu sehingga kamu binasa, kerana kamu tidak taat kepada TUHAN, Allah kamu dan tidak mematuhi semua hukum yang diberikan-Nya kepada kamu.

46. Bencana-bencana itu akan menjadi bukti hukuman TUHAN atas kamu dan keturunan kamu selama-lamanya.

47. TUHAN, Allah kamu sudah memberkati kamu dalam segala hal, tetapi kamu tidak mengabdi kepada-Nya dengan hati yang suka dan gembira.

48. Oleh itu kamu akan mengabdi kepada musuh yang akan dikirim oleh TUHAN untuk melawan kamu. Kamu akan lapar, dahaga, dan bertelanjang; kamu kekurangan segala-galanya. TUHAN akan menindas kamu dengan kejam sehingga kamu binasa.

49. TUHAN akan mendatangkan suatu bangsa dari hujung bumi untuk melawan kamu, bangsa yang bahasanya tidak kamu fahami. Seperti burung helang, mereka akan menyambar kamu.

50. Mereka kejam dan tidak menaruh belas kasihan terhadap sesiapa pun, baik orang tua mahupun anak-anak.

51. Mereka akan mengambil ternakan dan hasil tanaman kamu, tetapi kamu akan mati kelaparan. Mereka tidak akan meninggalkan gandum, wain, minyak zaitun, lembu, ataupun domba bagi kamu, dan kamu akan mati.

52. Mereka akan menyerang tiap-tiap kota di tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu, dan tembok-tembok tinggi serta kukuh yang kamu harap-harapkan itu akan roboh.

53. Apabila musuh mengepung kota kamu, kamu akan putus asa kerana kelaparan sehingga kamu makan anak-anak yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu.

54-55. Bahkan seorang lelaki bangsawan yang paling luhur budinya, akan menjadi begitu terdesak apabila kotanya dikepung, sehingga dia makan anak-anaknya sendiri kerana tidak ada lagi makanan lain. Dia tidak mahu membahagikannya dengan saudaranya sekalipun, atau isteri yang dikasihinya, atau dengan anak-anaknya yang masih hidup.

56-57. Bahkan seorang wanita bangsawan yang paling luhur budinya, dan yang sangat kaya sehingga belum pernah berjalan kaki ke mana-mana tempat, akan berlaku demikian juga. Apabila musuh mengepung kotanya, dia akan menjadi begitu terdesak kerana kelaparan, sehingga dengan sembunyi-sembunyi dia akan makan bayi yang baru dilahirkannya, dan juga uri bayi itu. Dia tidak mahu membahagikannya dengan suami yang dikasihinya, atau dengan anak-anaknya yang masih hidup.

58. Jika kamu tidak setia mentaati segala hukum Allah yang tertulis di dalam kitab ini, dan tidak menghormati TUHAN, Allah kamu yang agung dan menakjubkan,

59. Dia akan mendatangkan penyakit yang tidak dapat disembuhkan dan wabak yang tidak dapat dihentikan, kepada kamu dan keturunan kamu.

60. Dia akan menimpa kamu dengan semua penyakit dahsyat yang kamu takuti di Mesir dahulu. Kamu tidak akan sembuh daripada penyakit itu.

61. TUHAN akan mendatangkan segala macam penyakit dan wabak yang tidak disebut di dalam kitab ini, yang mengandungi hukum dan ajaran Allah. Kemudian kamu akan dibinasakan.

62. Meskipun kamu menjadi sebanyak bintang di langit, tetapi hanya sedikit sahaja orang di kalangan kamu akan terselamat, kerana kamu tidak taat kepada TUHAN, Allah kamu.

63. Sebagaimana TUHAN suka menjadikan kamu makmur dan menambahkan bilangan kamu, demikian juga Dia suka membinasakan dan memusnahkan kamu. Kamu akan dicabut dari tanah yang tidak lama lagi kamu duduki.

64. TUHAN akan mencerai-beraikan kamu di kalangan bangsa-bangsa di seluruh muka bumi. Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan yang dibuat daripada kayu dan batu, tuhan-tuhan yang tidak pernah kamu sembah atau disembah nenek moyang kamu.

Ulangan 28