36. TUHAN akan membuang kamu dan raja kamu ke negeri asing, tempat yang tidak pernah menjadi kediaman kamu ataupun nenek moyang kamu. Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan yang dibuat daripada kayu dan batu.
37. Di negeri-negeri tempat TUHAN mencerai-beraikan kamu, orang akan terkejut melihat perkara yang terjadi kepada kamu. Mereka akan mengolok-olok dan mempermalukan kamu.
38. Kamu akan menanam banyak benih, tetapi menuai sedikit sahaja kerana belalang akan makan hasil tanaman kamu.
39. Kamu akan menanam anggur dan memelihara ladang anggur itu, tetapi kamu tidak akan memetik buah anggur ataupun meminum wain, kerana ulat akan makan pokok-pokok anggur.
40. Pokok-pokok zaitun akan tumbuh di seluruh negeri kamu, tetapi kamu tidak akan mendapat minyaknya kerana buahnya akan gugur.
41. Kamu akan mempunyai anak lelaki dan perempuan, tetapi kamu akan kehilangan mereka kerana mereka dibawa pergi sebagai tawanan perang.
42. Semua pokok dan tanaman kamu akan dimakan serangga.
43. Orang bangsa asing yang tinggal di negeri kamu akan semakin berkuasa, sedangkan kamu semakin kehilangan kuasa.
44. Mereka akan mempunyai wang untuk dipinjamkan kepada kamu, sedangkan kamu tidak mempunyai apa-apa untuk dipinjamkan kepada mereka. Akhirnya, mereka akan memerintah kamu.
45. Segala malapetaka itu akan menimpa kamu sehingga kamu binasa, kerana kamu tidak taat kepada TUHAN, Allah kamu dan tidak mematuhi semua hukum yang diberikan-Nya kepada kamu.
46. Bencana-bencana itu akan menjadi bukti hukuman TUHAN atas kamu dan keturunan kamu selama-lamanya.
47. TUHAN, Allah kamu sudah memberkati kamu dalam segala hal, tetapi kamu tidak mengabdi kepada-Nya dengan hati yang suka dan gembira.